Rakyat diseru tolak permusuhan, julang kebersamaan - PM

Rakyat diseru tolak permusuhan, julang kebersamaan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia menolak perpecahan dan permusuhan sempena sambutan Hari Malaysia ke-61 hari ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri mengajak semua kaum menyemarakkan erti penubuhan negara yang bebas dan merdeka seterusnya menjulang kebersamaan bagi melonjakkan potensi serta keupayaan negara ke peringkat tertinggi.

“Selama 61 tahun negara Malaysia yang kita cintai telah terbentuk dan dalam tempoh itu, pelbagai rintangan yang mematangkan telah berjaya kita tempuhi bersama-sama.

“Sambutan yang diraikan saban tahun ini harus menjadi cetusan semangat dan manifestasi perpaduan selain kecintaan mendalam kepada tanah air dalam kalangan rakyat merentasi kaum, agama dan budaya.

“Ayuh semangati erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka, menolak perpecahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar dijadual merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, malam ini.

Beliau dijangka tiba pada sambutan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ pada pukul 8.25 malam.

Bermula pada 2022, acara memperingati tarikh keramat pembentukan Malaysia itu diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

Malam ini, Perdana Menteri bersama-sama dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia yang merupakan acara utama setiap tahun.

Persembahan istimewa bertajuk ‘Rumah Madani, Jiwa Merdeka’ yang menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia akan menjadi acara kemuncak.

Persembahan artis jemputan khas seperti Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir akan turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN