Radhi Mat Din jelaskan pegangan saham dalam KDA FC - Utusan Malaysia

Radhi Mat Din jelaskan pegangan saham dalam KDA FC

MUHAMAD RADHI MAT DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din menjelaskan keberadaannya selaku pemilik saham Kedah Darul Aman (KDA) FC sebenarnya berlaku di peringkat awal penubuhan kelab itu.

Legenda bola sepak Kedah itu juga menangkis kritikan sesetengah pihak terhadapnya yang dikatakan turut memegang saham dalam KDA FC, namun tidak berbuat apa-apa untuk membantu pasukan itu yang berdepan isu kewangan.

“Untuk menubuhkan KDA FC, perlu ada pemegang saham, jadi saya bersama Zulkifli Che Haron selaku Naib Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika itu bertindak sebagai wakil persatuan untuk memegang saham tersebut.

“Kami masuk pun bukan dengan wang, sebaliknya atas dokumentasi saja. Jadi untuk hari ini, pemilik sebenarnya adalah Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Atlet Kedah Ke Sukan Para Sukma Sarawak 2024 di sini, semalam.

Pasukan bola sepak Kedah berdepan masalah kewangan meruncing apabila dikatakan gagal membayar gaji pemain sehingga lebih enam bulan.

Keadaan itu turut menyebabkan para pemain tidak turun menjalani latihan setelah mendakwa tiada wang untuk menampung keperluan harian selain mempunyai tunggakan hutang bank.

Bagaimanapun, para pemain utama pasukan mula kembali menjalani latihan sejak kelmarin sebelum aksi menentang Sri Pahang FC di laman sendiri, malam ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Radhi sekali lagi menafikan dakwaan kerajaan negeri bersikap lepas tangan dan tidak mengambil tahu mengenai isu yang melanda KDA FC.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian langsung tidak tepat kerana kerajaan negeri telah beberapa kali menghulurkan bantuan kepada pasukan berkenaan.

Malah katanya, kejayaan KDA FC mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super musim ini juga sebenarnya merupakan hasil sumbangan kerajaan negeri melalui KFA.

“Saya fikir Menteri Besar pun dah jelaskan banyak kali bahawa kerajaan negeri sudah tak terlibat secara langsung sebab KDA FC serta pasukan-pasukan lain di bawah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), merupakan entiti dengan kelab sendiri.

“Namun saya nafikan kalau ada dakwaan mengatakan KFA atau kerajaan negeri tak bantu langsung. Dalam masa sama, kita pun tak bolehlah bantu sepenuhnya sebab gaji pemain datang daripada kelab, maka pemilik kelab yang perlu urus hal itu.

“Tetapi kita pun tak mahu salahkan Tan Sri (Mohd. Daud) kerana kami tahu beliau bekerja keras dengan komitmen sangat tinggi. Cuma masalahnya kini, kita tiada tajaan tetap dari tahun lepas lagi dan itu yang membawa kepada masalah kewangan ketika ini,” katanya.

Muhammad Radhi berkata, hingga semalam pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan bersama Mohd. Daud dan pihak pengurusan KDA FC bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan tersebut.  

“Kami terus berusaha di sebalik tabir tetapi tak diuar-uarkan perkara itu kerana apabila pasukan sudah diswastakan, kita tak mahu mengganggu pemilik pasukan menjalankan urusan berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN