PETALING JAYA: Cadangan projek perumahan Madani bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di ibu negara perlu dikaji semula kerana memberi tekanan kepada kepadatan sedia ada di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim berkata, ini kerana risiko banjir di Kuala Lumpur semakin meningkat akibat perubahan iklim selain kesesakan lalu lintas yang menekankan keperluan perancangan bandar yang lebih baik.
Naib Pengerusi DAP itu mencadangkan supaya kerajaan mengembangkan projek perumahan Madani ke kawasan Lembah Klang seperti Sepang, Putrajaya, Ampang Jaya, Shah Alam, Selayang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kajang dan Klang.
Menurut beliau, dengan memilih lokasi-lokasi di luar pusat bandar itu sekali gus akan mempromosi pertumbuhan serantau dan memupuk strategi pembangunan bandar lebih seimbang.
“Harga tanah di kawasan tersebut yang jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur lebih rendah. Pilihan itu juga akan mengurangkan kepadatan dan kos projek serta mengurangkan kebergantungan subsidi bersilang dari perumahan mewah.
“Penglibatan pihak berkuasa seperti Perbadanan Perumahan Nasional untuk projek-projek ini boleh mengurangkan kesesakan di bandar, mengurangkan tekanan pada kemudahan bandar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di ibu kota secara keseluruhan.
“Oleh itu, kerajaan Selangor yang mengawasi banyak kawasan ini boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk Perumahan Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, semasa berucap pada Majlis perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani, di Tapak Pembinaan Projek Rumah Madani, Taman Desa, Kuala Lumpur, Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak-pihak yang membantah pembinaan projek perumahan itu.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah menghalang pembangunan di kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabai. Anwar merasmikan majlis pecah tanah Residensi Madani membabitkan 800 unit yang akan dibina pemaju Mah Sing Group Bhd (Mah Sing).
Projek di atas tanah berkeluasan 0.99 hektar itu membabitkan pembinaan satu blok berkeluasan 800 kaki persegi yang akan dijual pada harga RM200,000.
Teresa yang turut hadir mewakili persatuan penduduk Taman Desa, meminta kerajaan mengkaji semula dasar pembangunan di lokasi berkepadatan tinggi dan menambah baik kemudahan bagi penduduk khususnya di Taman Desa.
Mengulas lanjut, Teresa berkata, Perdana Menteri tidak memahami sepenuhnya demografi Taman Desa kerana mereka juga menentang pembangunan itu kerana bimbang kepadatan kawasan dan kekurangan infrastruktur sedia ada.
“Saya menyokong inisiatif Perumahan Madani, yang bertujuan menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan miskin. Bagaimanapun, pembangunan harus dirancang teliti dengan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan yang mencukupi.
“Pembangunan tidak teratur akan memburukkan isu seperti kesesakan lalu lintas, sekolah padat, kemudahan kesihatan tidak cukup dan kekurangan tempat letak kereta,” katanya.
Katanya, projek perumahan Madani berharga di bawah nilai pasaran perlu disubsidi dari perumahan mewah yang menyebabkan wujud pembangunan dengan kepadatan lebih tinggi.
“Proses ini akan menjejaskan keperluan komuniti yang lebih penting dengan mengubah fungsi guna tanah yang asalnya diperuntukkan untuk penggunaan rekreasi dan penahanan banjir,” katanya. – UTUSAN