BUKIT MERTAJAM : Kesemua baki lima pusat penempatan sementara (PPS) yang masih dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di Pulau Pinang hari ini akhirnya ditutup kira-kira pukul 12 tengah hari.
Perkara itu dimaklumkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melalui laporan terkini yang disediakan dalam bentuk infografik kepada media sebentar tadi.
“Adalah dimaklumkan bahawa semua PPS di Pulau Pinang kini telah ditutup. Semua mangsa banjir juga telah kembali ke kediaman masing-masing (ketika ini),” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, sekretariat yang sama memberitahu, paras beberapa air sungai utama di Pulau Pinang bagaimanapun masih berada pada tahap waspada.
Katanya, antara sungai tersebut ialah Sungai Juru di Seberang Perai Tengah (SPT), Sungai Lahar Endin di Seberang Perai Utara (SPU) dan Sungai Jelutung dalam daerah Timur Laut.-UTUSAN