Pulau Pinang: Proses dapatkan sijil halal dipercepat, galak lebih permohonan

Pulau Pinang: Proses dapatkan sijil halal dipercepat, galak lebih permohonan

MOHAMAD ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Proses mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Pulau Pinang telah dipercepatkan daripada 90 hari kepada 30 hari bekerja mulai November tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan permohonan pensijilan halal daripada para pemilik perniagaan ketika ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, konsep pensijilan halal adalah satu keperluan penting yang bertujuan memastikan standard kebersihan, keselamatan makanan serta kepatuhan syariah dipenuhi.

Dalam hal ini katanya, sijil halal bukan sahaja khusus untuk umat Islam, tetapi juga kepada pengguna bukan Islam yang semakin menyedari kualiti yang diiktiraf melalui proses pensijilan ini.

“Di Pulau Pinang, pemegang SPHM ini 76 peratus daripadanya dikuasai oleh syarikat bukan Muslim (bukan bumiputera dan milikan asing) manakala baki 24 peratus lagi pula dimiliki oleh syarikat Muslim (bumiputera) iaitu sejak awal Januari hingga Jun lepas.

“Data ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa peniaga bukan bumiputera mencatatkan peratusan yang lebih tinggi bagi permohonan sijil halal berbanding peratusan peniaga bumiputera di Pulau Pinang sekali gus membuktikan bahawa pensijilan halal di Malaysia diyakini oleh semua pihak tanpa mengira latar agama atau bangsa,” katanya.

Sementara itu, Mohamad memberitahu, statistik pemegang SPHM Pulau Pinang juga menunjukkan peningkatan pada setiap tahun.

Sebagai contoh katanya, pada 2008, terdapat 56 buah syarikat yang memiliki pensijilan halal manakala sehingga tahun ini pula, sebanyak 1,651 syarikat telah berjaya berbuat demikian termasuk syarikat berkaitan produk makanan, bahan gunaan, premis perniagan, hotel, rumah sembelihan, kosmetik dan logistik.

“Berdasarkan data ini, jelas pensijilan halal Malaysia juga membuka peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran yang lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Pada masa yang sama, pengusaha yang mendapat pensijilan halal mempunyai kelebihan yang kompetitif dan dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Malah, pensijilan halal Malaysia sebenarnya telah menjulang nama baik negara di persada antarabangsa dengan pensijilan halal yang unggul lagi berintegriti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN