Pulau Pinang: Atlet Para Sukma cemerlang bakal terima insentif

Pulau Pinang: Atlet Para Sukma cemerlang bakal terima insentif

KON Yeow (tengah) dan Daniel (dua dari kanan) beramah mesra bersama atlet Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang petang ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Ganjaran berbentuk wang tunai menanti atlet Pulau Pinang yang berjaya memenangi pingat sempena kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang akan berlangsung dari 20 hingga 29 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, imbuhan yang dijanjikan menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (Skimas) itu akan diberikan sama rata buat atlet yang beraksi cemerlang di temasya itu nanti.

“Seperti atlet biasa, mereka (atlet para) juga akan memperoleh insentif sama mengikut jenis pingat yang dimenangi.

“Kita akan beri tanpa diskriminasi buat mana-mana atlet para yang berjaya mengharumkan nama negeri dan dalam bidang sukan masing-masing. Jumlah ganjaran itu bagaimanapun akan diputuskan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hadir menyempurnakan upacara penyerahan bendera Pulau Pinang kepada atlet badminton, Muhammad Amin Azmi sebagai simbolik perasmian Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 di Kepala Batas di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Daniel berkata, pihaknya akan mengetengahkan cadangan pemberian elaun kepada jurulatih atlet para yang selama ini secara sukarela berbakti tanpa sebarang bayaran.

“Pengorbanan masa, tenaga dan kekangan peruntukan tidak menjadi penghalang buat jurulatih mencurahkan tenaga demi membimbing atlet sekali gus menyerlahkan kekuatan masing-masing.

“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti jurulatih yang terlibat dan saya akan umumkannya selepas memperolehi keputusan menerusi mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang nanti,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan 16 pingat emas pada temasya kali ini dan optimis sasaran tersebut dapat dicapai susulan semangat juang kontinjen yang sangat tinggi.

“Pada masa yang sama, kita turut berharap dapat memperbaiki kedudukan keseluruhan pada temasya kali ini,” katanya.

Untuk rekod, kontinjen para Pulau Pinang kali ini disertai oleh seramai 83 atlet yang akan bersaing dalam 113 acara dengan diiringi oleh 49 pegawai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN