ALOR SETAR: Kerajaan negeri memberi jaminan akan segera mengagihkan bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada mangsa yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir minggu lepas.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebanyak 3,517 keluarga yang berpindah ke PPS di seluruh kawasan yang dilanda banjir layak menerima bantuan itu.
“Menjadi rungutan sedikit mangsa takut yang RM1,000 itu tak dapat. Jadi tak mahu balik (rumah). Kita bagi jaminan setiap 3,517 keluarga yang kita janjikan akan disalurkan bantuan melibatkan kos RM3.5 juta melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah masing-masing.
“Kalau PPS tutup, bayaran belum sampai PKOB akan dapatkan mereka di rumah. Jangan sampai tak balik rumah kerana ada yang tak mahu balik sebab dia kata tak dapat duit lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Tambah beliau, pada masa sama kerajaan negeri melalui zakat Kedah akan menyalurkan bantuan untuk membaiki rumah yang rosak akibat banjir dan ribut dalam bencana alam itu.
“Bagi yang tidak berpindah mereka tidak dapat bantuan RM1,000 ini tetapi jika rumah rosak teruk mereka akan menerima bantuan membaiki rumah untuk yang di bawah RM15,000,” katanya.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, bencana banjir tersebut juga mengakibatkan kira-kira 2,986 hektar kawasan pertanian di negeri ini musnah dengan kerugian sehingga RM10.72 juta. – UTUSAN