PUCHONG: Perdana Menteri menggesa semua pihak memberi laluan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan dan tidak menjatuhkan hukuman mengikut khabar angin semata-mata.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sudah menyatakan pendirian tegas berhubung anggota pengiring yang dipercayai memukul seorang pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU).
Kata beliau, PDRM dan Peguam Negara perlu berpuas hati dalam siasatan yang dilakukan sebelum tindakan diambil.
“Saya tidak bersetuju satu hal. Prinsip negara ini (merupakan) negara hukum (itu) betul tetapi jangan hukum berdasarkan khabar angin atau persepsi.
“Kes ini siapa kata (ia) tutup? Ya kadangkala proses mengambil masa tetapi ini menjadi perhatian. Saya secara peribadi mengambil tahu (tentang) hal sedemikian sama ada kes melibatkan OKU atau biasa,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Anwar hadir ke Masjid Darussalam bagi menunaikan solat Jumaat selepas menjamu selera di Warung Maju D’Salam di sini.
Terdahulu, akhbar melaporkan pemandu OKU e-hailing yang mendakwa diserang anggota pengiring orang kenamaan mendedahkan rakaman kamera kejadian pada Mei lalu.
Peguamnya, N. Surendran dilaporkan berkata, tiada sebarang tindakan lanjut walaupun kira-kira dua bulan kertas siasatan didakwa telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara (AGC) dan itu menyebabkan kekecewaan memandangkan terdapat bukti yang jelas.
Dalam rakaman video satu minit 30 saat itu, Ong Ing Keong dilihat berada di dalam kereta sepanjang kejadian sambil menunggu pelanggannya meletakkan beg mereka di belakang kereta.
Bagaimanapun, tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin kereta sambil mengarahkannya supaya bergerak.
Pemandu e-hailing pekak itu menggunakan bahasa isyarat cuba memberitahu lelaki bersut itu bahawa dia sedang menunggu penumpang yang masih di luar keretanya.
Beberapa saat selepas itu, seorang lagi lelaki berpakaian sut tiba-tiba muncul di sebelah tingkap tempat duduk pemandu dan melemparkan satu tumbukan kepada pemandu OKU itu.
Mengulas lanjut, Anwar sekali lagi mengulangi peringatan kepada semua pihak untuk tidak menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya.
“Kadang-kadang kita menghukum sebelum siasatan atau sebelum tahu keputusan siasatan yang mesti dirujuk kepada Peguam Negara yang akhirnya memutuskan sama ada untuk didakwa ataupun tidak berdasarkan fakta,” katanya.
Pada 5 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes OKU didakwa dipukul anggota pengiring orang kenamaan pada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Katanya, seramai 12 individu termasuk mangsa, pekerja hotel dan pegawai juruiring telah dipanggil bagi membantu siasatan. – UTUSAN