PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung Mekanisme Harga Automatik (APM) yang dilaksanakan ketika ini.
Mohd. Puad mendakwa formula itu seolah-olah rakyat terpaksa ‘membayar’ subsidi kepada kerajaan.
Jelasnya, hujah penganalisis politik, Lim Sian See di Facebook mengenai harga diesel dunia yang merudum amat tepat dan perlu diberikan perhatian.
“Hari ini harga pasaran ikut formula APM ialah RM2.55 seliter, iaitu 61 sen lebih rendah berbanding harga runcit RM3.16. Sian See bagi contoh, jika isi tangki penuh 60 liter pada harga runcit itu bermakna rakyat beri subsidi RM36.60 kepada kerajaan.
“Sian See sudah tanya Rafizi semasa mereka berdebat dalam audiosiar (podcast) Bakar Menteri. Kenapa rakyat pula bayar subsidi diesel pada kerajaan? Rafizi tidak nafi. Debat itu belum disiarkan.
“Jawapan Rafizi ialah kerajaan kena kutip duit sebab kena bayar subsidi diesel bagi penerima skim Budi Madani. Aahhhh? Banyak cantik formula Rafizi?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sian See dalam satu perkongsian hari ini mendakwa berikutan kejatuhan harga diesel, ia bermakna ‘cukai’ efektif tersembunyi bahan api itu ialah pada kadar 24 peratus.
Beliau mendakwa, dahulu Rafizi pernah menyebut memberi subsidi minyak kepada rakyat adalah hak rakyat kerana Malaysia adalah pengeluar minyak dan kurniaan Tuhan kepada rakyat perlu dipulangkan kepada rakyat.
“Tapi kini rakyat kena beri subsidi kepada kerajaan supaya kerajaan boleh beri subsidi minyak kepada rakyat yang dulu dikatakan hak rakyat,” ujarnya. – UTUSAN