KUALA LUMPUR: Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan pelan takaful baharu, PruBSN AnugerahMax bermula serendah RM50 yang lebih komprehensif dengan perlindungan menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pelan itu boleh diubah suai dengan 18 jenis rider pilihan yang menawarkan perlindungan penyakit kritikal dan perubatan yang lengkap, perlindungan kemalangan, peluang pelaburan serta pilihan kebajikan.
Katanya, pelan itu diwujudkan memandangkan lebih 700 kanak-kanak di Malaysia di bawah 15 tahun dikenal pasti menghidap kanser setiap tahun, sementara 70 peratus golongan muda di Malaysia antara umur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu risiko penyakit kardiovaskular.
Jelas Wan Saifulrizal lagi, memiliki pelan insurans yang komprehensif merupakan satu keperluan pada masa ini berikutan peningkatan kadar penyakit kronik dalam kalangan belia dan kenaikan kos rawatan perubatan.
“Penyakit-penyakit kronik boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia. Statistik ini amat membimbangkan. Tambahan pula, perbelanjaan penjagaan kesihatan peribadi yang dijangka akan berganda menjelang tahun 2028,” katanya dalam kenyataan.
Wan Saifulrizal berkata, setiap individu berhak mendapatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik serta jaminan kewangan yang diperlukan untuk menampung kenaikan perbelanjaan dan kos perubatan.
“Matlamat dan tanggungjawab ini sangat dekat di hati saya sendiri sebagai ibu bapa yang mahukan terbaik untuk masa depan anak-anak. Kita semestinya inginkan yang terbaik untuk anak-anak khususnya dalam memastikan mereka mendapat perlindungan serta jaminan masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
Kongsinya lagi, PruBSN AnugerahMax menawarkan pelan tambahan rider Medic TotalCare yang memberikan perlindungan menyeluruh kemasukan ke hospital, rawatan kanser yang moden, serta keperluan penjagaan kesihatan mental.
Manakala, penambahan rider Crisis TotalCare pula melanjutkan perlindungan kepada 166 penyakit kritikal, dari peringkat awal hingga akhir, termasuk beberapa kondisi kesihatan mental.
Pelan ini memberikan perlindungan menyeluruh termasuk penjagaan perubatan, penyakit kritikal, serta perlindungan kemalangan yang patuh Syariah.
Ciri pelanjutan-auto pula akan memastikan perlindungan berterusan, dengan melanjutkan perlindungan secara automatik sehingga umur 100 tahun, tanpa perlu melalui proses pengunderaitan yang baru yang membolehkan ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan perlindungan untuk anak-anak mereka akan berterusan seiring peningkatan usia.
Selain perlindungan perubatan dan kewangan, pelan ini juga memberikan bonus ganjaran untuk anak-anak berumur setahun hingga 18 tahun yang menyertai pelan ini dengan bonus tunai bagi pencapaian akademik yang cemerlang, bermula dari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat Sarjana dan PhD melalui EduAchieve Bonus.
Ini bukan sahaja menggalakkan kecemerlangan akademik, tetapi juga menyediakan ganjaran tunai yang boleh dilaburkan semula untuk keperluan Pendidikan dan masa depan.
Bagi keseluruhan siri produk PruBSN, lebih 400 individu telah mendapat perlindungan berjumlah RM 15 juta dengan jumlah tuntutan yang telah dibayar kira-kira hampir RM1 bilion.-UTUSAN