PENDIDIKAN adalah ‘nadi’ pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Tanpa asas pendidikan yang baik dalam melahirkan rakyat yang berilmu dan berkemahiran, bukan mudah bagi sesebuah negara mencapai pembangunan dan kemajuan yang diharapkan.
Justeru, aspek pendidikan adalah wadah ampuh untuk melahirkan tenaga kerja yang berilmu dan berkemahiran tinggi.
Malah, ketajaman ilmu dan ketinggian kemahiran rakyatnya adalah cerminan bagi pembangunan dan kemajuan sesebuah negara dalam mencapai status negara maju.
Tanpa rakyat yang berilmu dan berkemahiran tinggi bukan mudah untuk membawa negara ini mendepani masa depan, terutamanya dalam era digital yang penuh dengan cabaran baharu.
Seiring dengan kewujudannya lebih setengah abad, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), syarikat minyak dan gas negara melalui anak syarikatnya PETRONAS Refinery and Petrochemicals Corporation Sdn Bhd (PRPC) turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan pendidikan negara, khususnya meningkatkan kemahiran pelajar seperti yang digariskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Menyedari peri pentingnya pendidikan, PRPC merancang dan melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam menyubur, mengukuh dan memperkasakan bidang pendidikan rakyat sebagai sebahagian usahanya memberikan impak positif kepada masyarakat.
Justeru, PRPC boleh diibaratkan sebagai penyubur ilmu anak bangsa!.
Antara yang dilaksanakan oleh PRPC bersama-sama Pengerang Terminals Two (2) Sdn. Bhd. (PT2SB) di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor bagi murid dan pelajar setempat adalah kelas tuisyen percuma terutamanya bagi mata pelajaran teras dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta menganjurkan pembelajaran bersifat interaktif khususnya dalam bidang berkenaan untuk meningkatkan pengetahuan dan pencapaian mereka, terutamanya kepada pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Nyata usaha murni itu membuahkan hasil yang baik kepada peserta.
Misalnya, keputusan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengerang Utama (SMKPU) dalam SPM 2023 menunjukkan peningkatan ketara berbanding keputusan pada tahun sebelumnya.
Bagi menyelami dan merasai perjalanan kehidupan golongan mahasiswa dan memberi pengalaman lebih menarik, PRPC turut membawa pelajar melawat ke institusi pengajian tinggi (IPT) seperti UTP. Sesi lawatan sambil belajar ini turut di sertai dengan pelbagai aktiviti seperti menghadiri kuliah bersama mahasiswa UTP, Bengkel Inovasi STEM, lawatan ke makmal kejuruteraan, perpustakaan serta perkongsian oleh mahasiswa dan pensyarah UTP.
Lawatan tersebut bertujuan memberi pengalaman dan menyuntik semangat serta minat mereka melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.
Usaha PRPC tersebut tidak bernoktah bagi golongan pelajar sahaja, malah turut mencakupi golongan lepasan sekolah dan belia.
Syarikat gergasi minyak dan gas tersebut turut memperkenalkan dan menganjurkan pelbagai kursus bagi mereka dalam bidang berkaitan minyak dan gas.
Misalnya, program Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) PIC adalah program yang telah dibangunkan bagi menggalakkan lebih ramai belia menyertai latihan TVET dalam industri minyak dan gas.
Menerusi Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), institusi latihan TVET seperti Intitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, ILP Pasir Gudang, Akademi Binaan Malaysia serta Politeknik Tun Syed Nasir (PTSN) mendapat bantuan untuk mengajar serta melatih belia-belia tempatan di dalam kursus-kursus berkaitan minyak dan gas di institusi mereka.
Selain itu, Program Skills in Oil & Gas (Soga) PIC juga dianjurkan dengan kerjasama Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir yang amat diperlukan di loji pemprosesan minyak dan gas berkenaan.
Malah, usaha tersebut seiring dengan dasar kerajaan untuk memperkasakan bidang TVET dalam kalangan lepasan sekolah dan belia.
Selepas menjalani kursus-kursus tersebut, peserta tidak dibiarkan terkapai-kapai mencari pekerjaan, kerana turut ditawarkan kerja di PIC.
Nyata program dan inisitif tersebut memberi jaminan pekerjaaan kepada golongan belia, khususnya masyarakat setempat agar terus berbakti di kampung halaman mereka di Pengerang dan negeri Johor sekaligus.
Justeru, penempatan pekerjaan itu mampu menghalang penghijrahan golongan belia ke bandar-bandar besar untuk mencari rezeki dan kerjaya, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi dan kehidupan masyarakat setempat.
Menyedari pemerkasaan bidang pendidikan bukan bermusim dan harus dilaksanakan secara berterusan, PRPC turut bakal melancarkan Program Literasi dan Numerasi 2024-2026.
Inisiatif murni PRPC tersebut akan melibatkan 10 buah sekolah rendah di Pengerang dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 1,174 murid.
Program tersebut turut memberi fokus dalam memperkasakan aspek 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul dalam kalangan pelajar.
Keprihatian pihak PRPC dalam menyuntik, menyubur dan memperkasakan bidang pendidikan untuk bukan sahaja disokong dan dipuji, malah patut menjadi ikutan pihak lain untuk bersama-sama melonjakkan kualiti pelajar dan pendidikan negara. – UTUSAN