Projek SAMA cadang kuasa veto Sabah, Sarawak di Dewan Negara

Projek SAMA cadang kuasa veto Sabah, Sarawak di Dewan Negara

Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, Mac lalu – IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan pendesak reformasi institusi, Projek SAMA mencadang kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah 15 kerusi tambahan di Dewan Negara untuk Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).

Kumpulan itu percaya, pertambahan kerusi ahli Dewan Negara akan memberi kuasa veto kepada Malaysia Timur untuk menyekat sebarang pindaan Perlembagaan secara sepihak dari Semenanjung

Kata mereka, Malaysia Timur kini hanya memegang 7.1 peratus daripada jumlah kerusi Dewan Negara dengan hanya dua senator masing-masing dari Sabah dan Sarawak, serta seorang senator yang dilantik oleh Persekutuan mewakili Labuan.

“Dengan perwakilan yang kecil mengehadkan kemampuan Malaysia Timur menyekat pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Pertambahan 30 ahli Dewan Negara dari Sabah dan Sarawak akan segera memberi Malaysia Timur termasuk Wilayah Persekutuan Labuan 35 kerusi (genap 35 peratus) dalam Dewan Negara menjadikan jumlah kerusi Dewan Negara kepada 100 ahli,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kerajaan kini dalam proses mengembalikan status sama rata kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Salah satu cadangan oleh penyokong Sabah dan Sarawak adalah untuk memberi 35 peratus daripada kerusi Dewan Rakyat kepada Malaysia Timur, bagi memulihkan keseimbangan seperti yang dibayangkan dalam MA63.

Projek SAMA berpendapat cadangan mereka yang memfokuskan Dewan Negara akan lebih mudah dilaksana berbanding meningkatkan perwakilan Malaysia Timur di Dewan Rakyat.

“Pelan “Dewan Negara 35/100” hanya memerlukan pindaan kepada Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang komplikasi.

“Sebaliknya, permintaan “Dewan Rakyat 35 peratus” akan memerlukan proses panjang untuk merunding pengagihan kerusi, pindaan perlembagaan dan persempadanan kawasan pilihan raya yang mungkin mengambil masa dua tahun,” katanya.

Katanya, oleh kerana tiada pindaan Perlembagaan biasa boleh diluluskan tanpa sokongan dua pertiga dalam Dewan Negara atau Dewan Rakyat, adalah lebih masuk akal bagi rakyat Malaysia Timur mendapatkan kuasa veto awal melalui cadangan mudah Dewan Negara 35/100.

“Kuasa veto Malaysia Timur boleh dicapai dengan hanya menambah 30 Senator yang lebih diterima oleh orang ramai. Sebaliknya, permintaan Dewan Rakyat 35 peratus permintaan mungkin menghasilkan ‘penggelembungan’ Dewan Rakyat.

“Adalah mustahil untuk ahli Parlimen Malaysia Barat bersetuju mengambil 21 kerusi dari Malaysia Barat untuk diberi kepada Malaysia Timur, atau menambah kerusi hanya di Malaysia Timur apabila banyak kawasan pilihan raya Malaysia Barat mempunyai lebih 200,000 pengundi.

“Jika bilangan kerusi yang sama ditambah kepada kedua-dua Malaysia Timur dan Barat sebagai kompromi, kemudian Dewan Rakyat akan bertambah dengan jumlah 360 kerusi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN