Projek Lebuhraya Pan Borneo capai 90 peratus - Anwar

Projek Lebuhraya Pan Borneo capai 90 peratus – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri memuji kesungguhan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran yang diterajui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berikutan perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) sudah mencapai 90 peratus.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian kerajaan negeri menguruskan projek LPB sangat membanggakan.

“Pelaksanaan projek LPB sudah mencecah hampir 90 peratus dan ini membanggakan kita kerana seperti yang kita ketahui (jumlahnya) bukan kecil. Projek ini mencecah sehingga RM16 bilion. Ia merupakan projek lebuhraya paling mahal dalam negara kita dan tidak dikenakan tol.

“Di sini, Abang Jo kata tidak mengapa tetapi di Semenanjung, sesetengah ahli Parlimen hentam saya. Kenapa di Sabah dan Sarawak tidak perlu membayar tol, kenapa orang Pulau Pinang dan Perlis perlu membayar tol?

“Saya jawab mudah, boleh tidak kamu pergi melawan kawasan di sana? Kalau mereka melawat, mereka lebih simpati dan faham bahawa daerah itu telah ketinggalan lama. Jadi dasar kita itu seharusnya dasar yang lebih prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, buat julung kalinya penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima bantuan itu secara tunai melibatkan daerah Miri dan Kapit.

Jelas Anwar, pengagihan kaedah itu dibuat berikutan terdapat Tuai Rumah Panjang memaklumkan kepadanya bahawa terdapat dalam kalangan penerima yang tidak mempunyai akaun bank.

“Bagi STR untuk negeri Sarawak, sejumlah 28,944 penerima akan mendapat sumbangan daripada kerajaan dan akan disalurkan melalui akaun bank.

“Namun, ada Tuai Rumah Panjang memberitahu bahawa di rumah panjang tidak ada akaun bank. Terdapat 500,000 penerima STR yang layak tetapi tidak mempunyai akaun bank, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Manakala, lebih 51,000 penerima tidak mempunyai akaun bank di Sabah dan Sarawak. 

“Justeru, buat pertama kalinya di Miri dan Kapit, kita melancarkan program di mana kita boleh beri (bantuan) tunai secara langsung kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank,” katanya.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan tujuh klinik kesihatan di Sarawak yang bakal menerima pemulihan dan penaiktarafan bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

“Baru-baru ini saya sebut tentang klinik daif. Justeru, klinik yang dinaiktarafkan di Miri adalah Klinik Long Bemang, Klinik Kesihatan Turan dan Klinik Kesihatan Jambatan Suai.

“Manakala Klinik untuk dibaik pulih adalah di Taman Negara Mulu, Klinik Kesihatan Long Loyang, Klinik Kesihatan Beluru dan Klinik Kesihatan Long Miri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN