Projek jalan pintasan tertangguh kerana tiada kerjasama pemaju

Projek jalan pintasan tertangguh kerana tiada kerjasama pemaju

ZAIRIL Khir Johari (kiri) menunjukkan pelan jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills di George Town, Pulau Pinang yang tidak dapat dilaksanakan buat masa ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Projek pembinaan jalan pintasan yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills tidak dapat dilaksanakan buat masa ini kerana pihak pemaju dikatakan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, dalam isu ini, pihak pemaju telah menggunakan saluran undang-undang apabila mendapatkan perintah ‘ad interim stay’ atau arahan sementara daripada mahkamah agar tiada sebarang pengambilan tanah dibuat oleh kerajaan negeri.

“Mahkamah Rayuan juga telah membenarkan permohonan pemaju supaya pemeliharaan atau penggantungan interim ini diberikan untuk menghalang Pihak Berkuasa Negeri (PBT) daripada menjalankan proses pengambilan tanah.

“Pendengaran rayuan pula hanya dijadualkan pada 3 Julai 2025 dan proses ini memakan masa. Jadi, kami harap pihak pemaju dapat memberikan kerjasama dengan baik serta membenarkan kerajaan negeri membuat pengambilan tanah bagi meneruskan projek pintasan jalan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Zairil, pintasan jalan di tanah seluas 0.47 hektar itu perlu dibina bagi menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills bagi kemudahan penduduk yang berjumlah lebih 16,000 orang di kawasan berkenaan.

“Penduduk terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya ketika waktu puncak seperti selepas tamat waktu persekolahan kerana tiada jalan pintas untuk menghubungkan kedua-dua kawasan ini.

“Justeru, projek pintasan jalan ini perlu segera dibina untuk kemudahan semua penduduk selain menjimatkan masa mereka,” katanya.

Tambah Zairil, kerajaan negeri menerima banyak aduan serta rungutan daripada masyarakat yang menunggu jalan ini dapat disiapkan.

“Buat masa ini, penduduk terpaksa menggunakan lingkaran jalan yang sangat jauh hanya untuk ke sekolah dan kawasan sekitar sedangkan jaraknya tidaklah jauh sekiranya jalan pintasan ini disiapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri tetap komited untuk meneruskan projek pembinaan jalan pintasan
yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills demi kebajikan penduduk serta kemudahan buat orang awam.

“Namun, kerajaan perlu menunggu proses perbicaraan kes berkaitan selesai di mahkamah,” katanya yang memberitahu, dalam hal ini, kerajaan negeri bersedia mematuhi semua undang-undang berkaitan serta tidak boleh mengambil tanah manamana pihak sesuka hati walaupun untuk tujuan kepentingan awam.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN