PUSAT Robotik Politeknik Seberang Perai (PSP) baru-baru ini tampil dengan inisiatif tersendiri apabila menganjurkan program bertajuk Robotik Komuniti: From Zero to Hero. tarik minta terhadap TVET.
Difahamkan, penganjuran tersebut merupakan sebahagian usaha politeknik berkenaan memupuk minat pelajar sekolah mendalami bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
.Selain PSP, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di bawah Program Pemerkasaan dan Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang Tahun 2024.Menurut jurucakap PSP, program berbentuk komuniti itu dijalankan secara dua siri iaitu pada 17 dan 18 Ogos serta pada 24 dan 25 Ogos dengan disertai oleh 50 pelajar yang berusia antara 13 hingga 20 tahun dari kesemua lima daerah di negeri ini.
“Hasil daripada program ini, pelajar didedahkan dalam bidang elektronik, robotik, kecerdasan buatan serta dapat mempersiapkan diri mereka bagi menghadapi cabaran pasaran dalam Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.
“Semoga program ini dapat merangsang daya inovasi dan kreativiti terhadap sains dan teknologi dalam kalangan pelajar,” katanya yang memberitahu, hadir pada majlis penutupan program tersebut ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azrul Mahathir Aziz serta Pengarah PSP, Roseliza Shaari.
Dalam program tersebut, johan bagi Pertandingan Sumo Robot (Cup) dimenangi oleh Danish Hakim Saifullizan dan Darwish Qusyairi Shahrul Azhar (kumpulan G21) manakala johan Pertandingan Sumo Robot bagi kategori Plate pula menjadi milik Nurul Nafisah Mohd. Nizam dan Nurulain Noor Azlan (kumpulan G13).
Sementara itu, Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang memaklumkan, objektif kursus adalah untuk meningkatkan kefahaman, kemahiran serta kecekapan terhadap bidang pengaturcaraan.
Pada masa yang sama katanya, ia bertujuan mengaplikasikan kemahiran Computational Thinking (Pemikiran Pengiraan) serta internet kebendaan (IoT) dalam kalangan peserta melalui modul robotik.
“Kursus ini juga dapat memupuk kebolehan untuk menyelesaikan masalah dan bermotivasi dalam bidang robotik yang seterusnya dapat menyemai semangat berpasukan, meningkatkan kebolehan berkomunikasi selain menyerlahkan bakat kepimpinan dalam kalangan peserta program,” ujarnya. – UTUSAN