KUALA TERENGGANU: Motosikal peserta Program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Gong Badak dekat sini, pada Jumaat dan Sabtu ini yang didapati melanggar peraturan jalan raya akan diambil tindakan sita.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, tindakan sita itu boleh diambil sekiranya pemilik motosikal tersebut melakukan kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan, ubah suai motosikal serta lumba haram.
Beliau berkata, JPJ akan melakukan sekatan jalan raya (SJR) rutin di jalan masuk utama seperti Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 bagi memastikan kelancaran program berkenaan.
“Tindakan juga hanya dikenakan ke atas peserta yang melanggar peraturan termasuk kenderaan, selain motosikal dan tindakan lebih agresif pula jika aduan membabitkan kawasan awam seperti hospital.
“Pihak penganjur sudah dipanggil bagi perbincangan berkaitan keselamatan jalan raya dan kami berharap peserta program dapat mematuhinya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Program Himpunan RX-Z Members 6.0 dijangka disertai 80,000 peminat sukan permotoran dijangka mula masuk ke negeri ini bermula esok.
Menurut Mohd. Zamri, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ juga dalam masa sama akan meningkatkan rondaan bagi memastikan peserta himpunan itu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Selain kesalahan lazim, sebarang aktiviti membahayakan pengguna jalan raya yang lain turut boleh dikenakan tindakan saman atau menyita kenderaan,” jelas beliau. – UTUSAN