Program ‘Anak Kita’ tangani masalah keciciran pelajar

Program ‘Anak Kita’ tangani masalah keciciran pelajar

Sekolah
KERAJAAN melaksanakan program pemulihan pembelajaran dikenali Program Anak Kita bagi menangani masalah keciciran pelajar di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan program pemulihan pembelajaran dikenali Program Anak Kita bagi menangani masalah keciciran pelajar di negara ini.

Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan itu akan dilancarkan pada Jumaat ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia, melalui penyelarasan dengan agenda pendidikan global.

Katanya, ia sejajar Matlamat Pembangunan Lestari 4 (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia Madani, yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.

“Program pemulihan pembelajaran ini memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

“Ini termasuk mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajatran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem Pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP) pada tahun lalu, sejumlah 10,160 atau 2.65 peratus calon tidak hadir untuk peperiksaan SPM daripada 395,870 calon yang berdaftar.

Manakala sejumlah 6.5 peratus atau 25,735 pelajar daripada jumlah pelajar yang menduduki pada tahun sama tidak layak menerima sijil SPM mereka.

Menurut Fadhlina, KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan untuk menangani isu keciciran pembelajaran.

“Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendidikan ialah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.

Katanya, memiliki kelayakan SPM adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.

“Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani,” katanya.

Amir Hamzah berkata, melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat Kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini.

Gabungan dua kementerian ini juga menyatukan organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan, serta organisasi antarabangsa yang sama-sama berganding bahu mengikut kepakaran dan pengkhususan masing-masing untuk menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak.

Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Hasanah itu merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya