Produk roti GISBH gambar lama, bukan kes palsu logo halal - Na’im

Produk roti GISBH gambar lama, bukan kes palsu logo halal – Na’im

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gambar produk roti keluaran Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang tular menerusi media sosial kononnya tiada logo halal sah sebenarnya gambar lama.

Perkara berkenaan diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang berkata, ia gambar tujuh tahun lalu yang dikitar semula.

“Saya dimaklumkan pihak JHEIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah) lewat semalam bahawa produk ada logo halal itu keluaran 2017,” kata beliau selepas menghadiri majlis sambutan rasmi perhimpunan Maulidur Rasul SAW 1446H/2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataan berkata, roti jenama Global Ikhwan Utara itu tidak ada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ia susulan pendedahan Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (Pukas) yang mempersoalkan kesahihan status logo halal berkenaan kerana perkara itu tiada dalam rekod Portal Halal Malaysia.

Ekoran itu, GISBH melalui kenyataan balas mengakui bahawa sijil halal itu belum lagi diperbaharui setelah tamat pada 31 Mei 2017.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, pihak JHEIK sudah melakukan siasatan di kilang di Kampung Meribut, Mukim Pering, Kodiang bagi menyemak kes itu.

“Sebenarnya tidak timbul isu pemalsuan logo SPHM yang disalah guna kerana produk mereka tiada logo halal namun syarikat itu masih memohon pembaharuan,” tambah beliau.

Justeru ujarnya, pengeluar roti itu tidak disiasat melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal).

Ditanya mengenai perkembangan kes GISBH, beliau berkata, bekas pengikut organisasi itu akan dipanggil balik bagi membantu proses siasatan ke atas doktrin fahaman mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN