PRK Mahkota: Peratusan rendah pengundi bukan Melayu jarang berlaku - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: Peratusan rendah pengundi bukan Melayu jarang berlaku

NGA Kor Ming berucap pada perasmian Konvensyen Biasa DAPSY Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Walaupun calon Barisan Nasional (BN) menang majoriti besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota semalam, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengakui tidak berpuas hati kerana ramai pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi.

Sehubungan itu, Kor Ming mahu semua parti terbabit mengkaji semula mengapa ramai pengundi bukan Melayu tidak keluar mengundi.

“Di sebalik kemenangan, ada juga kelemahan. Pengundi bukan Melayu keluar yang rendah dan ini jarang berlaku pada waktu lepas.

“Oleh kerana itu adalah penting semua pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan harus mencari jalan bagaimana hendak menyakinkan semula pengundi bukan Melayu untuk keluar beramai-ramai memberi sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan.” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Biasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak di sini hari ini.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, pihaknya akan membuat kajian semula mengapa hal itu berlaku.

Menurutnya, organisasi yang menerima kelemahan dan mengambil sikap bermuhasabah adalah teras sesebuah kejayaan parti politik.

“DAP dan rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan akan mencari apa kelemahan sebenarnya. Apakah ada perasaan tidak puas hati. Saya menunggu laporan post mortem daripada DAP Johor,” katanya.

Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Mahkota semalam ialah 53.84 peratus, lebih rendah berbanding sasaran lebih 60 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK semalam menyaksikan BN mempertahankan kerusi DUN Mahkota melalui calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, yang menang dengan majoriti besar 20,648 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN