KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor, hujung bulan ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sudah dipersetujui pimpinan parti.
“Saya beri kuasa kepada Menteri Besar Johor untuk buat pengumuman calon PRK DUN Mahkota,” katanya selepas melancarkan Persidangan Perundangan Antarabangsa Ancaman dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN