PRK Mahkota: Annuar seeloknya pujuk Muhyiddin - Mohd Puad

PRK Mahkota: Annuar seeloknya pujuk Muhyiddin – Mohd Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemimpin UMNO yang kini bersama Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa diminta memujuk Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada 28 September ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, Annuar seeloknya memujuk Muhyiddin agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Kata beliau, Annuar sendiri sudah meramalkan BN akan menang besar di Mahkota.

“Barisan Nasional (BN) tidak meletak calon semasa PRK Sandakan tahun 2019. Kurang sikit cerita fitnah, janji kosong, cacian dan menghina institusi Raja.

“Lagi pun duit pembayar cukai boleh dijimatkan,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) meramal BN akan memperoleh lebih 20,000 undi pada PRK Mahkota.

Menurutnya, DUN Mahkota merupakan kubu terkuat untuk BN dan Pakatan Harapan (PH) serta berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu yang menunjukkan dua gabungan itu memperoleh sebanyak 28,000 undi.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, Pas tidak akan berani untuk mengulangi langkah sama semasa PRK Nenggiri iaitu ‘meminjamkan calon’ kepada Bersatu.
Ini kerana, katanya, Pas bimbang akan kalah teruk di PRK Mahkota.

“Maka terpaksalah Bersatu mencari calon lelaki sendiri. Ini peluang untuk membuktikan apakah Bersatu layak untuk jadi pengganti kepada UMNO,” katanya.

Tambahnya, Mahkota pertemuan pertama UMNO lawan Bersatu di PRK selepas PN gagal melawan Amanah di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Pas gagal tawan Pelangai dan kehilangan Nenggiri kepada UMNO,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan PRK Mahkota akan menyaksikan keadaan sama seperti di PRK Tanjung Piai pada 2019.

“BN menang besar di PRK Tanjung Piai. Akibatnya PH pecah. Berlaku Sheraton Move dan kerajaan PH tumbang. Mungkin Mahkota menyebabkan PN pecah dan Bersatu merudum,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN