IPOH: Wanita UMNO sudah mengemukakan tiga nama kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 28 September ini.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya akan memberi sokongan sebaik mungkin terhadap mana-mana calon yang dipilih oleh parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN).
“Kita mengharapkan yang terbaik dan kita harap siapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan itu, Wanita akan sokong. Wanita UMNO akan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon dan kalau sekiranya calon itu wanita, kita memang amat alu-alukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai peluang calon wanita dalam PRK tersebut, memandangkan kerusi DUN itu sebelum ini disandang oleh anggota Wanita UMNO.
Noraini yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditemui pemberita selepas beliau menyempurnakan pelancaran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Sekolah Kebangsaan Seri Kelebang di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, Johor pada 2 Ogos lalu.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Pada masa sama, Noraini berkata, pihaknya membiarkan keputusan pemilihan calon itu di tangan kepimpinan parti.
“Tapi akhirnya keputusan itu adalah keputusan kepimpinan, mengambil kira pelbagai faktor dan kita harapkan yang terbaik. Yang penting BN menang,” katanya. – UTUSAN