Premis pusat latihan berkuda jadi tempat berkumpul pemimpin, ahli GISB - Utusan Malaysia

Premis pusat latihan berkuda jadi tempat berkumpul pemimpin, ahli GISB

SEBUAH premis latihan berkuda yang disyaki menjadi lokasi pemimpin dan ahli GISB berkumpul di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit, Kuala Nerus. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebuah premis di pusat latihan berkuda di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini disyaki menjadi tempat berkumpul pemimpin dan ahli Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, kewujudan premis itu mula disedari penduduk sejak awal tahun ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, ahli serta pengikut organisasi itu telah bertindak menghilangkan diri lebih awal sebelum premis berkenaan diserbu pihak berkuasa, semalam.

Menurut Aizi Saidi, maklumat orang awam juga mendapati berlaku pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan di premis itu yang turut menempatkan sebuah rumah dua tingkat.

“JHEAT tidak mengesan sebarang rumah amal atau pusat perlindungan seliaan GISB di negeri ini, cuma premis perniagaan di Kuala Terengganu dan pusat latihan berkuda ini di Batu Rakit.

“Hasil aduan penduduk kampung, penghuni premis ini bercampur jantina namun kami tidak dapat mengesahkan status hubungan mereka selain sering mengadakan aktiviti berkuda di pesisir pantai.

“Lokasi ini disyaki menjadi tempat ahli dan pemimpin berkumpul tetapi ketika serbuan pihak berkuasa, tiada sesiapa dijumpai,” katanya ketika ditemui di pusat latihan berkuda itu di sini, hari ini.

Aizi Saidi berkata, JHEAT akan terus membuat pemantauan di lokasi berkenaan selain dua lagi premis perniagaan GISB di daerah ini dan Kuala Terengganu yang kini didapati sudah tidak beroperasi.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, pusat latihan berkuda itu terletak agak tersorok walaupun mempunyai akses ke jalan utama Kampung Mengabang Panjang.

Lelaki itu mendakwa, penduduk kampung hanya mengetahui premis itu sebagai pusat latihan berkuda disebabkan kewujudan kira-kira 13 ekor kuda dan dijaga lebih 10 pemuda lingkungan 20-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN