Premis perniagaan GISB di Terengganu tutup - Utusan Malaysia

Premis perniagaan GISB di Terengganu tutup

SALAH sebuah restoran dipercayai milik GISB di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Tanjung, Kuala Terengganu ditutup sejak Jumaat lalu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Premis perniagaan dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di bandar raya ini telah ditutup sejak Jumaat lalu.

Premis itu membabitkan restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus.

Tinjauan mendapati kedua-dua premis terbabit sudah tidak beroperasi, namun tiada sebarang notis makluman berhubung penutupan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M. Rozi Budin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap organisasi tersebut setelah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri, sama ada wujud unsur ajaran sesat dalam GISB atau sebaliknya.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan JHEAT masih memantau situasi walaupun mendapati kegiatan organisasi berkenaan tidak begitu menonjol di negeri ini.

“JHEAT masih menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap organisasi berkenaan.

“Apabila sudah ada keputusan, JHEAT boleh bertindak berdasarkan bidang kuasa yang diputuskan oleh jawatankuasa kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Beliau memaklumkan pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN