Prebet sapu mewah ‘pau’ pelancong

Prebet sapu mewah ‘pau’ pelancong

Prebet sapu
AEDLY Fadly Ramli menunjukkan antara kereta mewah yang dijadikan sebagai prebet sapu dan dirampas JPJ dalam Operasi Kenderaan Sapu, dekat Pejabat JPJ Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/ NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kegiatan ‘prebet sapu’ yang menyasarkan pelancong asing dengan caj tambang mencecah RM1,000 di sekitar Lembah Klang lumpuh apabila digempur pihak berkuasa, minggu lalu.

Pemandu warga tempatan yang menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah itu menjadikan lokasi hotel lima bintang dan kawasan pelancongan sebagai sasaran mereka.

Perkara itu terbongkar menerusi pelaksanaan Operasi Kenderaan Sapu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menahan dan menyita 21 MPV pelbagai jenama bermula 2 hingga 6 September lalu.

Sepanjang serbuan khas itu, sebanyak 45 notis saman dikeluarkan ke atas prebet sapu mewah ber­kenaan yang antaranya melibatkan kereta Hyundai Starex dan Staria selain Toyota Alphard serta Innova.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan pihaknya mengenai kegiatan yang mencemar imej Malaysia dalam kalangan pelancong asing.

Menurutnya, golongan yang turut digelar ‘ulat teksi sapu’ yang mengenakan caj harga ‘cekik darah’ itu dikesan menggunakan aplikasi khas dan khidmat bagi kegiatan haram tersebut.

“Rata-rata prebet sapu yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 30-an yang menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu kenderaan Persendirian dijadikan sebagai kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA).

“Mereka menggunakan MPV mewah dengan mengenakan caj tinggi bergantung jarak perjalanan. Ada yang ditahan mengenakan caj sehingga SGD$300 (RM997.17) bagi Kuala Lumpur ke Singapura berbanding caj biasa hanya RM300,” katanya dalam sidang akhbar di JPJ Selangor, semalam.

Jelas Aedy Fadly, pihaknya sebelum ini lebih memfokuskan kawasan lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2 (KLIA 1 dan KLIA 2) selain terminal bas dan jeti.

“Selepas menerima aduan mengenai prebet sapu ini, kita akan mengatur gerak kerja termasuk mendapatkan kerjasama termasuk persatuan pelancong.

“Kita juga akan memperluaskan operasi penguatkuasaan di seluruh negara namun melakukannya secara cermat bagi mengelak ia menggugat industri pelancongan negara,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, prebet sapu mewah itu tidak mempunyai insurans dan boleh membahayakan penumpang jika kejadian tidak diingini berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN