Potensi ekopelancongan Sungai Sembilang di Juru

Potensi ekopelancongan Sungai Sembilang di Juru

GOOI Hsiao Leung (dua dari kiri) ketika hadir merasmikan pertandingan eksplorasi dan kayuhan berinformasi sempena program ‘The Amazing Race’ Hari Malaysia Bukit Tengah #kitabersama 2024, di Dataran Sungai Sembilang, Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Lokasi Sungai Sembilang di Juru yang terletak berhampiran Bukit Tengah di sini mempunyai potensi yang tinggi sebagai sebuah pusat ekopelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, kawasan yang majoriti penduduknya Melayu itu secara umumnya kaya dengan sumber laut seperti kerang-kerangan dan mempunyai kawasan paya bakau yang menarik.

Beliau berkata, selain itu, Sungai Sembilang juga mempunyai beberapa tarikan lain termasuk memiliki kawasan yang sesuai untuk aktiviti pendakian bukit serta sebuah perkampungan tradisi yang dilihat mampu menarik kehadiran pelancong sama ada tempatan atau luar negara.

“Sebenarnya di peringkat Kadun (Bukit Tengah) sendiri, kita sudah membuat perancangan awal untuk membangunkan kawasan Sungai Sembilang ini sebagai sebuah pusat ekopelancongan. Namun, disebabkan berlakunya pandemik Covid-19, maka, kita terpaksa tangguhkan dahulu hasrat tersebut.

“Bagaimanapun, banyak program telah kita laksanakan dalam usaha mempromosikan kawasan Sungai Sembilang Juru ini bagi menarik minat orang ramai untuk meneroka keindahan dan keunikan yang ada di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Hsiao Leung berkata, sebagai salah satu inisiatif untuk mempromosikan Sungai Sembilang, pihaknya pernah menganjurkan program kayuhan basikal pada 2019 yang melibatkan kira-kira 800 orang peserta menganjurkan aktiviti pemuliharaan alam sekitar seperti menanam bakau dan mendaki Bukit Juru.

“Justeru, untuk fasa kedua pula, sekarang kita nak tengok bagaimana kita boleh membangunkan lagi ekopelancongan dekat kawasan ini dengan lebih terancang.

“Perancangan itu kita akan umum dalam masa yang terdekat nanti kerana banyak perkara sedang dalam penelitian bagi memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan mengikut ketetapan yang telah dirancang,” katanya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN