Polis Terengganu belum terima laporan eksploitasi kanak-kanak - Utusan Malaysia

Polis Terengganu belum terima laporan eksploitasi kanak-kanak

MOHD. KHAIRI KHAIRUDDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Polis Terengganu belum menerima laporan berhubung sebuah syarikat yang kini disiasat atas dakwaan eksploitasi kanak-kanak di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, bagaimanapun, pihak polis akan terus memantau aktiviti syarikat terbabit.

Menurutnya, difahamkan terdapat sekurang-kurangnya dua atau tiga premis perniagaan diusahakan syarikat berkenaan di Terengganu dan akan diberi perhatian.

“Di Terengganu, pihak polis belum mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat itu dan mengikut laporan media, siasatan hanya dibuat negeri lain.

“Buat masa ini tiada laporan diterima di Terengganu tetapi kita terus memantau setiap pergerakan ahli-ahli mereka dan akan siasat jika ada kesalahan.

“Ada (syarikat) itu di daerah ini, ada dua atau tiga bangunan,” ujarnya ringkas ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu tinjauan mendapati syarikat berkenaan menjalankan perniagaan restoran di bandar raya Kuala Terengganu selain kedai bakeri di Gong Badak, Kuala Nerus.

Terdahulu, seramai 402 orang kanak-kanak dan remaja berusia satu sehingga 17 tahun diselamatkan di 20 rumah amal syarikat terbabit di Negeri Sembilan dan Selangor.

Kanak-kanak terbabit dikatakan dieksploitasi bagi tujuan kutipan dana, derma dan sumbangan oleh syarikat yang didakwa serpihan sebuah kumpulan ajaran sesat.

Serbuan pihak polis menerusi Op Global itu mendapati turut terdapat kes liwat membabitkan penghuni dan individu dalam organisasi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN