Polis sudah serbu, periksa premis GISBH di Kedah - Utusan Malaysia

Polis sudah serbu, periksa premis GISBH di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis Kedah telah melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas premis perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) di tiga daerah di negeri ini melalui Op Global 4.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan selaras arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara bagi mengumpul bahan bukti yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tarekat Aurad Muhammadiyah dan kumpulan Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994.

“Kita telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas premis mereka di Kubang Pasu, Kuala Muda dan Kulim. Sebahagiannya didapati ada yang masih beroperasi manakala sebahagian lagi dipercayai telah ditutup,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fisol enggan mengulas berkaitan isu kakitangan GISBH di negeri ini yang didakwa telah melarikan diri ekoran tiada tangkapan dilakukan.

“Semua laporan berkaitan serbuan dan pemeriksaan telah diserahkan untuk tindakan lanjut Bukit Aman dan kita sedang menunggu arahan selanjutnya.

“Jika menerima arahan terbaru dari Ketua Polis Negara kita kita akan bertindak mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Sejak Op Global fasa pertama pada awal September lepas, sebanyak 280 premis dikaitkan dengan GISBH diperiksa di seluruh negara dengan 221 daripadanya telah dikosongkan.

Dalam sidang akhbar terbaru, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan, seramai 156 individu terdiri daripada 80 lelaki dan 76 wanita telah ditangkap manakala seramai 187 mangsa berusia 18 tahun ke bawah diselamatkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya