GEORGE TOWN : Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan seorang wanita di dalam satu sesi audio siar (podcast) di laman TikTok yang mendakwa dia dipaksa menjadi pelacur oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen (ah long) di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengambil maklum akan kes tersebut dan sedang mengesan lokasi wanita berkenaan.
“Kita tidak boleh dedahkan lagi (perkembangan kes buat masa ini). Apapun, kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Menerusi podcast berkenaan, wanita berusia 26 tahun itu yang menghubungi pengendali podcast terbabit mendakwa, dia kini berada di Pulau Pinang dan dipaksa menjadi pelacur sejak Februari lalu selepas bapanya berhutang dengan ah long.
Dalam podcast itu juga, wanita berkenaan yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu mendakwa bapanya berhutang sebanyak RM20,000 selain meletakkan nama ibunya dan mereka sekeluarga sebagai penjamin untuk pinjaman tersebut.
Pada masa yang sama, wanita itu juga dikatakan telah memohon pertolongan daripada individu di dalam podcast terbabit untuk menyelamatkan dirinya.
Terdahulu, Hamzah menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Ketua Polis Daerah Timur Laut, dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) bagi IPD Timur Laut.
Pada majlis itu, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Muhammad Halim Yatim menyerahkan jawatan yang disandangnya kepada Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid yang merupakan Ketua Polis Daerah Timur Laut sebelum ini.
Razlam kemudian menyerahkan jawatan beliau kepada Timbalannya, Superintenden Lee Swee Sake yang akan memangku jawatan tersebut buat masa ini.-UTUSAN