BALIK PULAU : Polis sedang menyiasat satu rakaman video mengenai aksi berbahaya yang dilakukan oleh seorang individu menggunakan papan luncur di atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Tun Sardon, di sini.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya terkesan dengan sebuah video berdurasi 47 saat yang dimuat naik ke dalam laman Facebook dengan memaparkan aksi individu terbabit yang lengkap berpakaian khas ketika melakukan aksi berbahaya itu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Kaedah-Kaedah Kawalan Lalu Lintas (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti) 2021.
“Dalam hal ini, polis memandang serius isu ini kerana tindakan tersebut dianggap bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah, turut membahayakan pengguna lain,” katanya.
Dalam rakaman video itu, individu berkenaan pada mulanya dilihat meluncur dalam keadaan berbaring semasa melalui selekoh berbahaya sebelum duduk dan mendepakan tangannya sambil meluncur.
Aksi terbabit bagaimanapun mengundang kecaman netizen kerana perbuatan individu itu dilihat mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Sementara itu, Kamarul Rizal berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Katanya, ia boleh dilakukan dengan menghubungi Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Noor Amera Mohd Nawi di talian 013-3312026.-UTUSAN