Polis siasat 4 kes pecah amanah babit peguam, kerugian RM2.7 juta  - Utusan Malaysia

Polis siasat 4 kes pecah amanah babit peguam, kerugian RM2.7 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima empat laporan membabitkan pecah amanah jenayah dilakukan peguam membabitkan kerugian RM2.7 juta, sejak dua minggu lalu.

Kes pertama dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM339,000 dibuat di Kuala Lumpur pada 7 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan dibuat seorang peguam berusia 49 tahun, mendakwa bekas rakan kongsinya melakukan penyelewengan akuan klien firma guaman mereka. 

Kata beliau, suspek disyaki telah menandatangani beberapa keping cek, selain turut memalsukan tandatangan pengadu bagi urusan pengeluaran RM339,243.00 daripada akaun klien untuk kegunaan peribadi  sekitar tahun 2012 hingga tahun ini.

“Setelah disoal, suspek mengakui perbuatan tersebut dan berjanji untuk memulangkan semula wang yang telah digunakan.

“Atas dasar percaya, pengadu telah membuat pinjaman peribadi dan menjual rumah miliknya bagi mengganti wang yang telah digunakan oleh suspek. Bagaimanapun, sehingga kini suspek gagal membuat bayaran semula sepertimana dijanjikan,” katanya dalam sidang akhbar di sini Menara KPJ di sini hari ini.

Dalam kes kedua pula, Ramli berkata, laporan diterima membabitkan kerugian RM1.9 juta pada 11 September lalu, di mana seorang pengarah wanita sebuah syarikat, berusia 47 tahun, mendakwa telah ditipu oleh sebuah firma guaman pada 2022.

“Syarikat wanita itu telah melantik sebuah firma guaman di Kuala Lumpur untuk menguruskan perihal empat tuntutan sivil terhadap pengadu. Pada awal tahun lalu, mahkamah telah mengeluarkan perintah “Mareva Injuction” terhadap harta miliknya.

“Rentetan itu, suspek telah membuat tawaran untuk memindahkan harta dan wang tunai milik pengadu kepada suspek untuk dijaga sementara tuntutan sivil tersebut berlangsung. 

“Percaya dengan tawaran diberikan, pengadu telah menyerahkan wang serta beberapa barangan mewah miliknya kepada suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.9 juta,” jelasnya.

Ramli berkata, wanita berkenaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan khidmat suspek dan memintanya memulangkan wang tunai dan barang mewah yang telah diamanahkan namun suspek gagal berbuat demikian.

Ramli memberitahu, bagi kes ketiga dan keempat pula, dua lelaki kerugian RM461,000 akibat ditipu oleh peguam.

Jelas beliau, laporan polis telah dibuat seorang lelaki berusia 81 tahun terhadap sebuah firma guaman yang didakwa telah menipu pengadu dalam urusan pengendalian kes sivil pada 20 September lalu di Kuala Lumpur.

“Manakala satu lagi laporan dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun terhadap firma guaman yang didakwa telah gagal melunaskan tanggungjawabnya untuk menguruskan pembelian sebidang tanah berkeluasan 1.9 hektar di daerah Mualim, Perak tahun lalu.

“Bagi keempat-empat kes, kita (polis) siasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Ramli berkata, perlakuan jenayah dalam kalangan pengamal undang-undang perlu dipandang serius memandangkan mereka adalah rujukan masyarakat dalam perihal perundangan. 

“Individu yang mendapatkan khidmat guaman pasti meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa peguam dilantik akan melindungi kepentingan mereka. Sikap segelintir peguam yang mengkhianati kepercayaan yang diberi, tak ubah seperti `harapkan pegar, pegar makan padi’,” katanya.

Beliau menambah, PDRM menyokong komitmen Majlis Peguam Malaysia yang semakin serius dan memberikan perhatian khusus bagi menangani isu salah laku dalam kalangan peguam. 

“PDRM amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Majlis Peguam dan kami bersedia untuk memberikan kerjasama sewajarnya bagi mencapai matlamat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya