Polis Perak lupus dadah lebih setengah juta ringgit - Utusan Malaysia

Polis Perak lupus dadah lebih setengah juta ringgit

ZULKAFLI Sariaat (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah untuk dilupuskan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah termasuk daun ketum dan ubat batuk bernilai RM545,676.43 membabitkan rampasan sejak 2000 hingga tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, dadah yang dilupuskan itu merupakan eksibit daripada serbuan dan rampasan yang dijalankan di semua 15 daerah di negeri ini.

Katanya, pelupusan tersebut dibuat bagi dadah yang telah selesai perbicaraan dan prosiding mahkamah membabitkan sebanyak 4,313 kertas siasatan.

“Antara dadah yang akan dilupuskan ialah daun ketum seberat 3.17 juta gram diikuti diphenhydramine (149,626 gram), heroin (9,082.18 gram), ganja (7,056.22 gram), syabu (1,620.24 gram) dan ketamin (479.24 gram)

“Barangan lain ialah eramin 5 (2.51 gram), ekstasi (0.8 gram), ubat batuk (1,715 mililiter), cecair ketum (5,535,915.5 mililiter), cecair ganja (750 mililiter), methyl (68.05 mililiter) dan lain-lain dadah (595.19 gram).

“Semua eksibit dadah ini akan dihantar ke syarikat pelupusan sisa pepejal, Kualiti Alam Sdn. Bhd. di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan hari ini manakala ketum pula ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal di Papan dekat sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada program Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkafli berkata, bermula Januari hingga Ogos lalu, tangkapan keseluruhan pesalah dadah di negeri ini ialah seramai 14,234 orang.

Katanya, bagi kesalahan pengedaran dadah, seramai 1,771 orang ditahan di mana merekodkan peningkatan 32 kes berbanding 1,739 orang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 366 orang ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati manakala 88 orang pula ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau perancang serta pembiaya dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun 2024,” katanya.

Tambahnya, bagi tangkapan memiliki dadah, seramai 4,386 orang ditangkap tahun ini berbanding 4,325 orang tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, seramai 7,989 orang ditangkap kerana positif dadah iaitu peningkatan sebanyak 122 peratus berbanding 3,598 orang pada 2023.

“Nilai rampasan dadah bagi kes memiliki dan pengedaran sebanyak RM5.9 juta. Dadah jenis syabu, heroin dan ketamin merupakan rampasan dadah tertinggi bagi tahun ini,” katanya.

Ujar beliau, tindakan yang diambil di bawah Akta Pelucuthakan Harta 1988 pula telah membawa sitaan pelbagai jenis harta pengedar dadah termasuk rumah, kenderaan, barang kemas dan tanah bernilai RM7.1 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN