Polis minta Betty Banafe rujuk AGC berhubung kes NFA 

Polis minta Betty Banafe rujuk AGC berhubung kes NFA 

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) dan pelakon, Betty Banafe (kanan) dalam pertemuan diadakan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menyarankan kepada pelakon wanita, Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe atau lebih dikenali Betty Banafe menghubungi Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapat penjelasan  berkenaan kes yang diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes yang dilaporkan adik pelakon itu, Datuk Shakib Abu Bakar Benafe itu sudah disiasat oleh pasukannya dengan teliti.

Katanya, kes itu sudah diserahkan kepada AGC sebelum arahan tindakan lanjut namun pihak AGC telah mengklasifikasi kes itu sebagai NFA.

“Itulah yang kita jelaskan kepada pihak Betty Banafe dan pihak pengadu Datuk Syakib Banafee sendiri hari ini.

“Alhamdulillah mereka faham akan penjelasan itu serta mereka menerimanya dan apa-apa tindakan lanjut dan sebagainya itu adalah di luar bidang kuasa polis.

“Saya juga menjelaskan kepada mereka, sekiranya ada ketidakpuasan hati berkenaan dengan keputusan daripada AGC, maka mereka perlu menulis kepada AGC untuk mengetahui mengapa punca kes tersebut diklasifikasikan NFA,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Betty Banafee dan Syakib Banafee di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Betty Banafe ketika ditemui berkata, mereka menerima nasihat yang diberikan daripada PDRM dan akan mengambil langkah seterusnya dengan menghubungi AGC.

“Keputusan NFA itu bukan dibuat oleh polis tetapi ia justifikasi oleh AGC. Jadi pihak polis telah melakukannya kerjanya dalam siasatan.

“Bagi pihak kami pula, kami harus ke AGC untuk mendapatkan maklum balas daripada AGC,” jelasnya.

Terdahulu, polis mengesahkan kehadiran seorang pelakon wanita dan adiknya ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) hari ini bukan untuk merakam keterangan sebaliknya pertemuan bagi menjelaskan mengenai siasatan dilakukan polis.

Penjelasan itu selepas satu jemputan media memaklumkan pelakon  Betty Benafee dan adiknya Datuk Shakib Banafee akan dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.

Pada 8 September lalu, polis menyifatkan dakwaan pelakon wanita itu kononnya polis gagal menyiasat 14 laporan dibuatnya sejak dua tahun lalu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ini selepas satu video di TikTok dimuat naik pelakon berkenaan yang menyatakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) gagal membuat siasatan.

Ramli dalam kenyataan sebelum ini berkata, kesemua laporan polis terbabit disiasat dengan sewajarnya oleh polis melalui dua kertas siasatan yang dibuka masing-masing mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, berdasarkan semakan, 14 laporan polis dibuat oleh adik kepada pelakom wanita berkenaan iaitu Shakib Abu Bakar Banafee dan empat penama lain yang berkaitan.

Siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sudah selesai dan kes diputuskan tiada tindakan lanjut atau NFA (no further action) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu.

Ini selepas mereka mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes itu.

Selepas itu, siasatan kes ini dirujuk dan disemak semula oleh pihak peguam cara negara pada Ogos lalu dan keputusan tiada tindakan lanjut atau NFA dikekalkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pegawai penyiasat juga sudah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes ini mengenai keputusan siasatan.

Jelas beliau, bagi kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan masih dijalankan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN