Polis cari pemandu kenderaan terlibat kemalangan langgar lari - Utusan Malaysia

Polis cari pemandu kenderaan terlibat kemalangan langgar lari

MANGSA yang menunggang motoaikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Taman Sepillai, Sungai Kob di Kulim. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes langgar lari yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Kulim-Mahang berhampiran Taman Sepillai di Sungai Kob, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kejadian melibatkan seorang lelaki yang bekerja kilang berusia 25  tahun itu dipercayai berlaku pada pukul 7.45 malam, Isnin lalu.

“Dalam kemalangan itu, mangsa beralamat di Taman Mutiara, Sungai Kob menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala sebelum maut di tempat kejadian.

“Dia dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang disyaki melarikan diri selepas berlaku kemalangan dan terdapat serpihan kenderaan terbabit di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azizul, pihak polis masih mengesan pemilik kenderaan yang terlibat dan menunggu saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat berkenaan nombor pendaftaran dan jenis kenderaan itu.

“Sehingga kini pihak polis masih belum menerima laporan yang dibuat oleh pemandu kenderaan yang disyaki terlibat dalam kemalangan jalan raya itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulim di talian 04-4904646 atau berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Nurzety Adawiyah Muhamad di Talian 011-33982365,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN