Polis bongkar stor simpanan MDMA, rampas dadah lebih setengah juta

Polis bongkar stor simpanan MDMA, rampas dadah lebih setengah juta

HAMZAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu aktiviti pengedaran dadah dalam bentuk jus minuman (MDMA) dan pelbagai jenis dadah lain bernilai RM590,100 susulan penangkapan seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan parkir kereta di Jelutong, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, suspek ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah terbabit dalam operasi yang bermula kira-kira pukul 4.25 petang kelmarin sehingga pukul 3.30 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan polis, sebanyak 11 paket plastik pelbagai warna (hijau, biru muda, putih susu, putih) disyaki dadah jenis serbuk jus MDMA seberat 259 gram (g) bernilai RM3,300 telah dirampas.

“Selain itu, polis turut merampas satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 12.0 gram bernilai RM2,400,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, susulan penahanan suspek, polis kemudiannya telah menyerbu ke sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan jus minuman terbabit yang juga terletak di kawasan Jelutong, kira-kira pukul 4.50 petang semalam.

“Dalam serbuan itu, polis telah merampas sebanyak 1,134 paket plastik berwarna (hitam, merah jambu, merah, biru muda, hijau, putih) dan 10 balang plastik lutsinar berpenutup setiap satu berisi serbuk dadah disyaki MDMA seberat 37.69 kilogram (kg) bernilai RM560,040.

“Turut dirampas ialah tiga paket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis ketamin seberat 76.80 gram bernilai RM15,360 dan 128 biji pil berwarna (kuning, merah jambu) disyaki dadah jenis ekstasi anggaran berat 47.45 gram bernilai RM6,400.

“Pada masa yang sama, polis turut merampas 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan anggaran berat 11 gram bernilai RM800 selain enam bekas plastik berisi cecair disyaki cecair dadah dengan anggaran berat 47.70 gram bernilai RM1,800,” katanya.

Tambah Hamzah, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu baru sahaja bergiat aktif awal Mac tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas juga boleh digunakan oleh seramai 9,500 orang atau 9,500 kali penggunaan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, tangkapan tersebut positif dadah jenis benzo/ketamin dan semakan lanjut mengesahkan bahawa tangkapan mempunyai kesalahan jenayah dan dadah lampau.

“Suspek kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 30 September depan untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya yang memberitahu, polis turut menyita sebuah kenderaan iaitu kereta jenis Proton X50 bernilai RM90,000 dalam serbuan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN