MEMBERI lakonan yang mampu mengalirkan air mata penonton sebagai isteri yang terpaksa membuat keputusan berkongsi mahligai cinta melalui nashkah, Dua Surga Dalam Cintaku, ternyata tonggak utamanya, Keira Syabira, tidak sanggup untuk berhadapan dengan realiti sebegitu.
Bagi Keira, watak Husna melalui filem itu sama sekali tidak mencerminkan keputusan dirinya di alam yang nyata.
“Kalau berpoligami, rasa tak rasa saya boleh. Saya tidak sanggup untuk hidup sebegitu.
“Saya tidak mahu berkongsi kasih dengan lelaki yang saya cintai bersama wanita lain.
“Saya boleh bergaduh dengan orang yang mahu merebut kasih. Poligami itu bukan mudah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Selain itu, disoalkan soal jodoh, pelakon berusia 33 tahun itu berkata, dia sehingga kini masih belum bertemu jodoh kerana lebih fokus kepada karier dan banyak merantau ke luar negara.
“Saya sudah melancong ke banyak negara jadi sudah cukup rasanya, sekarang untuk usia-usia sebegini saya perlu mula mencari.
“Untuk mencari pasangan, kekayaan bukanlah mencari ukuran utama. Saya lebih memilih mencari pasangan yang dapat membuat saya berasa selesa.
“Dia juga harus bekerja keras, menarik dan saya nyaman bersamanya,’’ kongsi bintang kelahiran Bandung, Indonesia itu.
Dalam pada itu, Keira juga tidak menolak dakwaan bercinta di lokasi dengan pelakon utama filem itu, Aliff Alli.
“Kami sudah lama saling mengenali kerana abangnya juga pelakon. Jadi sejak kami mempromosikan filem ini bersama-sama, kami semakin akrab.
“Tak kenal maka tak cinta, itu apa yang saya boleh cakap jika ada yang cuma menyoalkan berkenaan kisah lampau alif berkenaan isu rumah tangganya kepada saya.
“Bila dah kenali dengan lebih mendalam baru dapat tahu hati budi seseorang. Di usia sekarang bukanlah fasa untuk saya suka dengan sebarangan orang,” ujarnya.
CUKUP IBU SAYA YANG RASA – EL ALICE
Tidak hanya tonggak utama filem itu menolak untuk berpoligami malah penyanyi runut bunyi atau Original Soundtrack (OST), El Alice, juga mempunyai pendirian yang sama.
Baru sahaja membina mahligai cinta, El mendedahkan tidak akan pernah untuk bersetuju dalam membina hubungan poligami.
“Tidak, terima kasih. Poligami ini telah memberikan pengalaman yang buruk buat saya.
“Ketika saya menulis lagu ini, dalam hati memang saya berdoa agar dijauhkan perkara sebegini dalam perkahwinan saya.
“Cukup ibu saya sahaja yang merasai. Dia juga tidak mengizinkan anak-anak untuk berpoligami,” katanya.
Selain itu, El turut berkongsi bahawa lagu Dua Surga Dalam Cintaku tercipta daripada pengalaman hidup dirinya sendiri kerana ibu hidup bermadu. Itu menjadi inspirasi buatnya ketika menulis lagu tersebut.
“Filem itu memberikan gambaran yang dekat dengan saya sepanjang hidup bersama ibu dan bapa. Seperti itu hidup berpoligami.
“Seikhlas-ikhlas perempuan, tiada yang mampu untuk memberikan keikhlasan hati terhadap kehidupan berpoligami. Saya melihat ibu sebegitu.
“Ibu banyak berkorban dalam menguruskan keluarga termasuk adik beradik tiri saya. Itu pengalaman yang membuatkan saya rasa tidak mampu untuk hidup berpoligami,” ujarnya.