PN tidak pernah pertahan pemimpin yang disiasat 3R - Ahmad Fadhli

PN tidak pernah pertahan pemimpin yang disiasat 3R – Ahmad Fadhli

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin pembangkang mempersoal tindakan DAP yang mempertahankan Naib Presidennya, Teresa Kok yang disiasat oleh pihak polis selepas mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mempertahankan pemimpinnya yang disiasat berkait dengan 3R (agama, raja dan kaum).

Sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) disiasat berkait dengan 3R, pemimpin PN tidak pertahankan dengan menyatakan mereka sama sekali tidak bersalah, cukup menyerahkan kepada pihak polis dan berharap siasatan dilakukan dengan adil.

“Tetapi apabila Teresa disiasat, Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke Siew Fook) awal-awal lagi meyakini dia tidak bersalah dan tidak melanggar undang-undang. Walaupun dia menyebut perkataan ‘memalukan negara’.

“Besar sungguh isyarat dari kenyataan ini. Tetapi apa nak dibimbangkan, tanpa parti terbesar dalam kerajaan ini, PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan bertukar menjadi XPM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anthony Loke berkata, mungkin Teresa mendapat maklumat daripada pengundinya yang bimbang mereka juga perlu memperoleh sijil tersebut.

Menurutnya, namun perkara itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia baru di peringkat cadangan dan belum diangkat untuk dipertimbang atau dibincangkan di peringkat Kabinet.

Sebelum ini, polis dilaporkan akan mengambil keterangan daripada Teresa esok berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN