BANGI: Menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan pengisytiharan harta merupakan antara tujuh syarat memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang.
Sambil menyifatkan kandungan MoU itu sebagai pelik, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya masih berbincang mengenai memorandum tersebut dan akan membuat keputusan pada bulan ini.
Dedahnya, memorandum itu juga merangkumi tujuh kandungan antara obligasi dan syarat yang perlu dipenuhi oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang termasuk isu berkaitan agama, kaum dan raja (3R).
“Ada juga elemen PN kena sokong kerajaan, sampai tahap memorandum persefahaman ini berkuat kuasa sehingga akhir penggal Parlimen Ke-15 berakhir.
“Kita rasa agak pelik sedikit sebab sebut memorandum persefahaman untuk peruntukan wajib kepada Ahli Parlimen, tetapi sebut tujuh obligasi (tanggungjawab) pembangkang.
“Malah ada sebut pengisytiharan harta, kita pun tak faham kenapa Ahli Parlimen bukan kerajaan kena isytihar harta. Sedangkan ia hanya perlu melibatkan anggota pentadbiran sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas sama ada PN telah membincangkan MoU membabitkan peruntukan Ahli Parlimen pembangkang.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN menambah, pihaknya akan membincangkan lebih lanjut MoU bertajuk ‘Memorandum Persefahaman Peruntukan Ahli Pembangkang’ itu dalam masa terdekat atau sebelum sidang Parlimen Oktober nanti.
“Surat ini bertarikh 1 Ogos, tetapi saya terima 6 Ogos. Kita belum putuskan sebab sibuk pilihan raya Nenggiri, nanti kami akan buat keputusan dalam bulan September,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan, kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak pembangkang berhubung draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN