PMKS sedia masuk, bersaing di pasaran antarabangsa

PMKS sedia masuk, bersaing di pasaran antarabangsa

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) semakin bersedia memasuki dan bersaing di peringkat global.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, perkara itu dilihat berdasarkan trend nilai eksport makanan proses dari Malaysia yang semakin meningkat.

Kata beliau, ia hampir mencecah RM600 juta di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu.

“Bagi tahun 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan kerjasama dengan beberapa rangkaian pasar raya besar.

“Ini bagi tujuan penyenaraian barangan Malaysia ke pasaran luar negara selain UAE iaitu di Thailand, Jepun dan China,” katanya di dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Armizan merasmikan Program Cita Rasa Malaysia 2024 di LuLu Hypermarket, Silicon Oasis di Dubai, UAE.

UAE adalah antara  negara yang terpilih bagi pelancaran program yang dianjurkan di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 dengan kerjasama LuLu Group Retail Malaysia.

Mengulas mengenai program tersebut, Armizan berkata, ia dianjurkan bagi memberi peluang kepada usahawan PMKS tempatan untuk memperkenalkan dan memasarkan produk mereka terutama di rangkaian pasar raya atau pasar raya besar di Malaysia mahupun di luar negara.

“Kerjasama erat bersama hypermarket asing dalam Malaysia turut dilibatkan bagi tujuan mempromosikan produk PMKS tempatan.

“Sebelum program ini dilancarkan, sebanyak 241 Stock Keeping Unit (SKU) barangan buatan Malaysia di bawah promosi KPDN yang memasuki rangkaian LuLu Hypermarket di seluruh UAE dengan nilai jualan sebanyak RM30 juta pada 2023. Ia terdiri daripada 30 buah syarikat tempatan yang mengeluarkan pelbagai produk segar, makanan dan produk penjagaan diri. 

Katanya, sebanyak 44 SKU tambahan dibawa masuk daripada 16 buah syarikat yang terpilih dalam usaha meluaskan pasaran produk PMKS tempatan ke pasaran UAE. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN