PM umum peruntukan RM13 juta untuk pasca banjir Kedah

PM umum peruntukan RM13 juta untuk pasca banjir Kedah

ANWAR Ibrahim bertanya khabar mangsa banjir yang berlindung sementara di PPS SMK Agama Kedah ketika mengadakan lawatan mengejut ke negeri ini di Alor Setar. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak RM10 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sumbangan pasca banjir untuk Kedah termasuk bagi kerja-kerja pembersihan kawasan yang terjejas dengan bencana itu.

Perdana Menteri berkata, tambahan RM3 juta lagi disediakan khusus kepada daerah Kota Setar bagi tujuan pembaikan dan pemulihan infrastruktur di lokasi itu yang setakat ini paling terjejas dengan lebih 3,000 mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan situasi banjir di negeri ini dalam keadaan terkawal dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala dengan segera.

“Untuk Kota Setar sahaja kita peruntukan RM3 juta dan bagi keseluruhan Kedah kita salur RM10 juta untuk pastikan selepas banjir apa-apa kerosakan atau ganti rugi yang munasabah dapat dibaiki.

“Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk selaras hal ini supaya disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah yang menempatkan mangsa banjir di sekitar daerah ini.

Perdana Menteri turut meminta agensi berkaitan dapat menyegerakan semua bentuk bantuan kepada rakyat terutama pesawah padi yang terkesan dengan banjir itu.

“Bantuan terus untuk mangsa banjir kita sudah mula sampaikan dan saya dengar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebut daripada kerajaan negeri pun ada bantuan.

“Tapi yang penting kerosakan, kerugian bidang penternakan, hasil tanaman yang kita harus teliti dan cuba ringankan beban ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengarahkan projek-projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di negeri ini tidak berlaku kelewatan kerana ianya boleh mengurangkan impak banjir apabila siap kelak.

Terdahulu, ketika mengadakan lawatan di PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Anwar turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Pusat menerusi Nadma (RM1,000) dan ICU (RM1,000) kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan dengan bencana banjir di Kedah.

Beliau yang tiba pada pukul 11.15 pagi di PPS itu meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanyakan khabar kepada mangsa banjir yang menempatkan 646 penduduk Kota Setar.

Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke Kedah hari ini ekoran bencana banjir yang melanda negeri ini sejak 16 September lepas sehingga mengakibatkan sebanyak 7,947 penduduk terjejas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN