PETALING JAYA: Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon bertemu pemimpin-pemimpin pembangkang, Perikatan Nasional (PN) dalam lawatan rasmi pertamanya ke negara ini sejak mengambil alih kepimpinan negara itu pada November tahun lalu.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin berkata, mereka berdua membincangkan pelbagai isu terutama dalam meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
“Tidak terkecuali, Rt Hon Christopher Luxon sendiri berkongsi pengalaman serta cabaran politik sebelum beliau mengambil alih kepimpinan negara berkenaan dan bagaimana pendekatan yang diambilnya untuk membentuk kestabilan politik di New Zealand,” katanya dalam catatan di Facebook.
Christopher yang merupakan bekas ahli perniagaan berusia 54 tahun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri New Zealand pada November tahun lalu.
Pemimpin Konservatif itu juga merupakan ketua pembangkang dari 2021 hingga 2023.
Dalam pada itu, kata Hamzah, pertemuan itu turut membincangkan kerjasama ekonomi memandangkan New Zealand ketika ini adalah rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM11.56 bilion ($AS2.54 bilion).
Katanya, mereka juga menyentuh potensi serta nilai strategik Malaysia untuk menjadi hub kepada pasaran ekonomi ASEAN dengan lebih 600 juta penduduk yang nilai KDNK ketika ini adalah kelima terbesar di dunia.
“Turut dibincangkan adalah soal kerjasama sektor pendidikan, isu-isu geopolitik serantau dan antarabangsa, aspek keselamatan dan jenayah rentas sempadan serta diplomasi budaya yang boleh dimainkan kedua-dua negara,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan makanan), Datuk Seru Dr. Radzi Jidin (Ketua Portfolio Kewangan), Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal (Ketua Portfolio Luar Negeri), Khairil Nizam Khirudin (Ketua Portfolio pengangkutan) dan Dr. Halimah Ali (Ketua Portfolio Perpaduan Negara).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis makan tengah hari untuk Luxon di Sri Perdana di Putrajaya.
Pada sidang akhbar bersama, kedua-dua pemimpin itu menggesa gencatan senjata segera dalam konflik di Gaza dan penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin. – UTUSAN