PM mahu Ketua Perwakilan Diplomatik bantu perkasa ekonomi

PM mahu Ketua Perwakilan Diplomatik bantu perkasa ekonomi

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama enam Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang membuat kunjungan – FACEBOOK/ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri mahu Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke Luar Negara proaktif dalam membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus kerajaan adalah merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, antaranya melalui manfaat perdagangan dan pelaburan luar yang berkualiti tinggi.

Oleh kerana itu, kata beliau, penting untuk semua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyusul, meneroka serta menarik pelaburan dan perdagangan penting bagi memacu ekonomi negara.

“Dalam pertemuan ini, saya titipkan pesanan untuk Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan segala kepentingan negara sentiasa dipelihara dan diperjuang,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada enam Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu pagi ini.

Kesemua mereka menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 27 Ogos lalu dan bakal menggalas amanah baharu di negara-negara penempatan kelak.

Mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan; Duta Besar ke Sweden, Sarimah Akbar; Duta Besar ke Qatar, Faizal @ Mohd Faizal Razali; Duta Besar ke Emiriah Arab Bersatu, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin; Duta Besar ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham dan Pesuruhjaya Tinggi ke Bangladesh, Mohd. Shuhada Othman.

Sementara itu, Anwar turut mengucapkan Syabas dan tahniah kepada semua yang dilantik.

“Semoga mereka menggalas tanggungjawab dan amanah ini dengan penuh tekad dan keazaman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN