PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyelesaikan segera isu capaian internet di beberapa kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika ini.
Perkara itu dikongsi Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini yang mahu isu itu diselesaikan dengan pantas memandangkan semester baharu akan bermula tidak lama lagi.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia maklum perkara itu dan akan mengambil tindakan segera.
“Insya-Allah saya dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menguruskan segera isu itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya sama ada isu penurunan Jalur Gemilang di Australia dibincangkan pada mesyuarat hari ini, Fahmi berkata, isu itu tidak dibincangkan.
Malah, katanya, perkara itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Fahmi berkata, Rumah Negeri yang dipamerkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 dipertimbang untuk dikekalkan menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Menurutnya, cadangan itu dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat kabinet hari ini.
“Ada permintaan daripada Ahmad Zahid agar beberapa Rumah-rumah Negeri yang telah dibina di sekitar pekarangan kawasan MAHA itu dipertimbangkan untuk dikekalkan memandangkan Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan dan mungkin boleh menjadi tapak lawatan bagi delegasi-delegasi ASEAN untuk mereka melihat,” katanya.
Dalam mesyuarat itu, Fahmi menjelaskan, Perdana Menteri sangat teruja dengan penganjuran dan kehadiran pengunjung pada MAHA 2024. – UTUSAN