KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Padang Merdeka, di sini malam ini.
Beliau dijangka tiba pada sambutan yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ pada pukul 8.25 malam.
Bermula pada 2022, acara memperingati tarikh keramat pembentukan Malaysia itu diadakan secara bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Malam ini, Perdana Menteri bersama-sama dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia yang merupakan acara utama setiap tahun.
Persembahan istimewa bertajuk ‘Rumah Madani, Jiwa Merdeka’ yang menampilkan pelbagai aspek kejayaan Malaysia akan menjadi acara kemuncak pada malam ini.
Persembahan daripada artis jemputan khas seperti Akim, Stacy, Amir Jahari, Gary Chaw dan Faizal Tahir akan turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia malam ini. – UTUSAN