PM arah siasat segera GISB

PM arah siasat segera GISB

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama jemaah ketika di Masjid Al-Iman Kampung Desa Putra untuk menunaikan solat Jumaat semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Perdana Menteri meng­gesa siasatan segera dilakukan terhadap GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) selepas syarikat ter­sebut didakwa melakukan ak­tiviti penyelewengan akidah orang Islam dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan remaja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ber­kata, dakwaan melibatkan GISB merupakan perkara yang besar dan penting, malah sekiranya benar maka tindakan se­gera perlu diambil.

“(Soal) GISB biar pihak polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan (dan) tindakan mengikut undang-undang. Pi­hak majlis agama terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai kekuatannya sendiri, ada saluran jadi jangan lengahkan kalau benar ia berlaku

“Ini semua soal serius bagi umat (Islam) dan ramai yang tanya mengapa (berlaku) kelewatan atau kelengahan dalam mengambil tindakan. Jadi saya telah bawa (perkara) ini supaya diambil tindakan, siasatan dan laporan segera,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Anwar hadir bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ke Masjid Al-Iman, Kampung Desa Putra, Sungai Merab, di sini untuk menunaikan Solat Jumaat.

Perdana Menteri mengulas mengenai kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mengatakan isu membabitkan GISB sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk JAKIM dan pihak penguatkuasa tetapi tiada tindakan diambil.

Mohd. Asri yang lebih dikenali Dr. Maza berkata, isu GISB mula dibangkitkan apabila terdapat kumpulan yang membuat kajian tentang kes ini bertemu beberapa pihak bertanggungjawab tapi tidak ada satupun yang mengambil tindakan.

Bagaimanapun, menurutnya, isu tersebut tidak diangkat mungkin disebabkan beberapa perkara termasuk sebahagian pihak enggan mengambil risiko selain mungkin ada individu yang tidak mempunyai jiwa besar untuk selesaikan isu.

“Mungkin sebahagian kepercayaan kumpulan (GISB) ini ada pada individu terbabit dan mungkin juga atas sebab musabab yang lain,” katanya dalam hantaran video merujuk kepada siri kuliah mingguan yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil saringan pihak polis terhadap penghuni rumah amal di bawah syarikat GISB mendapati kanak-kanak yang diselamatkan telah diasingkan daripada ibu bapa mereka seawal usia dua tahun.

Lebih mengejutkan, katanya, ada di antara mereka tidak mempunyai latar belakang yang jelas kerana tidak pernah mengenali ibu bapa mereka.

“Keseluruhan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dikenal pasti daripada generasi ketiga dan keempat ahli GISB.

“Ada maklumat mendapati ibu bapa kanak-kanak ini berada di Arab Saudi dan Turkiye selama lima hingga enam tahun, tetapi anak mereka berada di sini (Malaysia). Namun, kita belum pasti sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya.

“Siasatan masih dilakukan bagi melihat tujuan sebenar keberadaan ibu bapa kanak-kanak itu di luar negara sama ada bekerja atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, ini adalah antara penganiayaan, pengabaian dan pendedahan atas Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini semalam.

Menurut Razarudin lagi, pihaknya juga mengenal pasti seramai 13 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa liwat berdasarkan rakaman percakapan ke atas mangsa terbabit.

“Asalnya, polis hanya mengenal pasti empat mangsa yang diliwat menerusi laporan dibuat dekat Negeri Sembilan dan Selangor, pada 2 September lalu.

“Bagaimanapun, polis menemukan sembilan mangsa yang mengalami keadaan sama apabila siasatan lanjut dilakukan.

“Semua siasatan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” tegasnya.

Razarudin berkata, saringan terhadap 420 kanak-kanak yang diselamat sejak kelmarin, seramai 392 yang menjadi mangsa eksploitasi sudah menjalani saringan kesihatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 220 kanak-kanak lelaki dan perempuan (190 orang) manakala sepuluh lagi dikesan merupakan kurang upaya (OKU) dan autism.

“Mereka (kanak-kanak OKU dan sakit) ini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagaimanapun, lapan lagi mangsa belum kenal pasti usia mereka dan masih menunggu laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta temu bual ke atas penjaga rumah amal terbabit,” jelasnya.

Beliau menambah, proses saringan kesihatan di PULAPOL Kuala Lumpur dengan bantuan rakan rakan strategik yang terdiri KKM dan JKM.

Kata beliau, proses ini dibuat bagi saringan kesihatan ini bagi memastikan tahap kesihatan mangsa, yang diselamatkan dari segi mental dan fizikal berada dalam keadaan yang baik dan terkawal.

“Setakat ini, hasil saringan kesihatan dilaksanakan juga, sebanyak seramai 172 terdiri 130 lelaki dan perempuan (42 orang) dikesan mempunyai kesan kecederaan fizikal lama selain terjejas dari segi emosi.

“Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk menjalankan penilaian lanjut dari segi kesihatan mental terhadap mangsa-mangsa tersebut,” ujarnya.

Kata beliau, seramai 49 orang mangsa kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun telah diberikan Perintah Jagaan Sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelas beliau, mangsa yang terlibat telah dipindahkan ke tiga pusat perlindungan iaitu bertempat di Bukit Beruntung, Selangor, Cheras, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN