PM arah Mohd Na'im sedia laporan lengkap cadangan restoran wajib ada sijil halal

PM arah Mohd Na’im sedia laporan lengkap cadangan restoran wajib ada sijil halal

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyediakan laporan lengkap cadangan mandatori pensijilan halal.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, laporan penuh mengenai cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Perdana Menteri sudah meminta Menteri Agama untuk menyediakan laporan apakah langkah seterusnya (cadangan wajib sijil halal) untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Mohd Na’im sebelum ini dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang pertimbang cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengkritik Mohd Na’im yang mengumumkan satu dasar kerajaan yang masih belum mendapat kelulusan Kabinet.

Menurutnya, tujuan cadangan adalah baik namun, cara pengumuman yang mengejut dan terburu-buru itu adalah salah dan tidak profesional bagi seorang Menteri Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut perkara itu, Fahmi berkata, kerajaan sentiasa membincangkan isu pensijilan halal dari semasa ke semasa terutama dari segi pelaksanaannya.

“Tetapi dari segi dasar, kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri Agama minggu depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN