PM arah agensi, badan berkanun mohon kelulusan menteri sebelum ke luar negara

PM arah agensi, badan berkanun mohon kelulusan menteri sebelum ke luar negara

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi kerajaan dan badan berkanun memohon kelulusan terlebih dahulu daripada menteri masing-masing sebelum ke luar negara bagi tugasan rasmi. 

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, berbanding sebelum ini, kelulusan itu dipohon melalui Ketua Setiausaha kementerian. 

Menurutnya, perkara itu menjadi antara langkah untuk mengurangkan hutang negara selain memantapkan lagi aspek pengurusan dan tatakelola. 

“Ini adalah arahan Perdana Menteri, semua (kementerian) bukan Kementerian Komunikasi sahaja tapi semua. (Ini kerana) Perdana Menteri berhasrat untuk memastikan aspek pengurusan dan tatakelola (serta) isu governans ini dimantapkan. 

“Untuk pergi ke luar negara ia perlu ada rasional, kenapa jumlah sedemikian perlu pergi? Adakah boleh ada pengurangan atau penjimatan, ini perlu dipertimbangkan,” katanya dalam  sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini. 

Jelas beliau, ketika ini kerajaan berusaha untuk mengurangkan hutang negara dan Perdana Menteri melihat terdapat keperluan bagi meneliti semula aspek-aspek lain termasuk lawatan bagi tugas rasmi ke luar negara.

“Bukan itu (tugas rasmi luar negara) sahaja (tetapi) termasuk penambahbaikan aspek penyampaian, mekanisme untuk projek-projek, pastikan tidak berlaku kelewatan, penangguhan dan projek sakit. Perdana Menteri berhasrat untuk pastikan setiap wang ringgit rakyat dibelanja dengan cukup baik,” katanya.

Terdahulu, menerusi ucapannya, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, badan berkanun di bawah kementeriannya seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu mendapatkan kelulusan beliau untuk ke luar negara bagi tujuan lawatan. 

“Saya minta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa) untuk membuat tindakan susulan dengan Ketua Setiausaha Negara, ada arahan tentang perkara ini agar aspek tatakelola (itu) rapi, teratur dan tiada pelanggaran,” ujarnya. 

Dalam perkembangan berlainan, Fahmi berkata, setakat ini MCMC tiada menerima sebarang aduan berkaitan isu pemasaran produk perniagaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di platform media sosial berikutan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjadi kementerian yang bertanggungjawab berhubung isu itu. 

“Kebiasaannya sekiranya  melihat ada keperluan menurunkan apa-apa kandungan atau isu dari segi hak cipta dan kepenggunaan, mereka (KPDN) melalui Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, boleh meminta penyedia perkhidmatan Internet menurunkan (kandungan).

“Tapi setakat ini saya tidak menerima aduan melalui MCMC tentang perkara tersebut,” katanya ketika ditanya berhubung keperluan untuk menurunkan hebahan atau produk-produk milik perniagaan GISBH yang disebarkan melalui platform media sosial ekoran siasatan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN