PETALING JAYA: PKR menafikan satu laporan berhubung parti itu akan menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh berkata, tiada keputusan sedemikian dibuat sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 15 September lalu.
“Walaupun ada perbincangan serta pandangan dilontarkan, namun ia hanya perbincangan dan tiada keputusan tuntas. Mesyuarat berpendapat perlu lebih banyak libat urus diadakan di semua peringkat kepimpinan parti sebelum satu-satu keputusan dibuat.
“Saya berharap bahawa pihak portal berita terbabit akan bersikap lebih bertanggungjawab pada masa akan datang kerana wartawaran itu sudah pun menghubungi saya malam semalam dan saya juga sudah menafikan bahawa keputusan tersebut telah dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media memetik sumber melaporkan mesyuarat MPP semalam bersetuju menangguhkan pemilihan PKR selepas PRU16.
Pada 2021, PKR menangguhkan pemilihan parti tidak lebih 18 bulan.
PKR ketika itu dilaporkan berkata, ada peruntukan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan ditangguh tidak lebih 18 bulan.- UTUSAN