Pihak berkuasa agama dipersoal terlepas pandang bekas al-Arqam

Pihak berkuasa agama dipersoal terlepas pandang bekas al-Arqam

AHMAD FADHLI SHAARI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa agama dipersoal apabila terlepas pandang memantau pergerakan pengikut bekas kumpulan al-Arqam sehingga mengadakan pertemuan bersama tokoh-tokoh negara termasuk Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, secara logiknya Perdana Menteri tidak mungkin mengetahui secara terperinci mengenai tetamu yang berjumpa dengan pemimpin Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) jika mempunyai maklumat berhubung pergerakan entiti tersebut.

Katanya, perkara itu menjadi tugas pegawai yang berada di sekeliling pemimpin-pemimpin termasuk agensi agama yang sepatutnya sudah mempunyai maklumat sejak lama.

“Jika pertemuan itu dilakukan dengan tokoh-tokoh masyarakat yang tidak mempunyai akses kepada pegawai dan maklumat sulit kerajaan, ia boleh diterima. 

“Namun, jika menteri dan Perdana Menteri sendiri menerima kunjungan mereka dengan penuh hormat, kita bimbang ada sesuatu yang tidak kena dalam proses pemantauan oleh pihak berkuasa agama. Ini perlu diteliti dan disiasat tanpa mengambil kira pandangan politik partisan.

“Mengapa mereka boleh berkembang sedemikian rupa, mempunyai rangkaian perniagaan di seluruh dunia dengan kaedah perhambaan moden yang tidak boleh dimaafkan? Kenapa baru hari ini ia menjadi isu yang meletus?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk tindakan terhadap GISBH oleh pihak berkuasa menerusi serbuan dan tangkapan kerana didakwa terlibat eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Menurut Ahmad Fadhli, proses pemulihan akidah hendaklah dilaksanakan sehingga kes ini mencapai peringkat menyediakan peluang hidup kedua untuk generasi baru yang sudah dibentuk sejak lahir oleh gerakan ini.

“Jika tidak, kita akan berdepan dengan drama yang sama beberapa tahun lagi dengan modus operandi yang sama. Kita tidak mahu lagi tertipu untuk kali keempat, kelima, atau keenam, sehingga entah berapa kali lagi,” katanya.

Menurut beliau, namun Pas berpandangan seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah daripada sudut undang-undang.

Justeru itu katanya, tindakan terhadap mereka ini tidak boleh menzalimi golongan yang sedang dimanipulasi.

“Kita juga tidak boleh melepaskan pemimpin-pemimpin atasan mereka yang merupakan manipulator, mereka hidup mewah dengan titik peluh anak-anak yang dijadikan bahan untuk meraih derma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN