Phua Chu Kang 'gegar' kuala Lumpur - Utusan Malaysia

Phua Chu Kang ‘gegar’ kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sitkom lagenda era 90-an, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man bakal dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober ini

Gurmit Singh yang popular menerusi watak ikonik tersebut berkata, dia tidak sabar untuk bertemu secara langsung dengan peminat setelah sekian lama tidak bersua.

“Tentu sahaja saya tidak sabar untuk kembali dengan sesuatu yang segar tetapi masih membawa aura klasik Phua Chu Kang menerusi Phua Chu Kang: The Greatest Show Man.

“Bagaimana pementasan ini akan berlangsung dan apa yang akan terjadi, datang dan anda akan mendapatkan sebuah persembahan yang tidak pernah dijangka,” katanya.

Watak yang dijayakan oleh aktor kelahiran Singapura itu terkenal dengan penampilan ikoniknya yang berambut kerinting, bertahi lalat serta berkasut but kuning sejak tahun 1997.

Lantas, melihatkan populariti yang tidak pudar, Popcorn Studio Sdn Bhd tampil membawa sitkom tersebut ke panggung setelah 17 tahun tidak disiarkan di kaca televisyen sekaligus bakal mengubat kerinduan penonton setianya.

Penganjurnya, Erik Ong berkata, persembahan bakal melakarkan sejarah tersendiri dengan plot yang lebih mencuit hati.

“Apabila disebut bersahaja itu tidak bermakna Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan berlangsung tanpa persediaan penuh.

“Percayalah konsert ini akan melakar sejarah tersendiri apabila dipentaskan di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober 2024 nanti.

“Selain watak ikonik Phua Chu Kang akan dikembalikan secara langsung dengan baik oleh Gurmit Singh, tentu sahaja plot serta persembahan dalam konsep yang ditonjolkan tidak akan membuat penonton rugi.

“Akan terjadi interaktif dua hala dan anda (penonton) bakal terlibat sama sebagai pelakon! Ini akan menjadi dua malam yang yang luar biasa,” jelasnya.

Selain itu, pementasan sitkom ikonik ini juga bakal dihangatkan dengan persembahan dari Russell Curtis dan komedi Rizal Van Geyzel.

Orang ramai boleh dapatkan tiket pementasan Phua Chu Kang: The Greatest Show Man dengan harga bermula serendah RM100 atau layari laman sesawang http://www.ticket2u.com.my/pck.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN